Perlu optimum seni bina rangkaian semasa untuk rangkaian 5G

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penerimaan penuh rangkaian 5G hanya akan dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan cara mengoptimumkan seni bina rangkaian semasa.

Ini disebabkan Rangkaian 4G semasa masih lagi berdepan masalah kesesakan dan menguruskan isu lebar jalur yang tinggi.

Ketua Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Gerard K M Lim berkata rangkaian 4G semasa Malaysia berhadapan masalah ‘throughput’ yang rendah iaitu sembilan megabit sesaat (Mbps) ataupun 36 peratus di bawah purata untuk tempoh-tempoh tertentu.

"Keadaan tersebut berpunca daripada kesesakan antara elemen-elemen rangkaian seperti antara muka radio dan rangkaian teras.

"Ini adalah kesan daripada seni bina rangkaian end-to-end yang mempunyai hanya 40 peratus gentian optik di base transceiver stations (BTS). Mutakhir ini, purata kelajuan muat turun 4G di Malaysia adalah 21.1 Mbps,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata teknologi 5G menjanjikan satu gigabit sesaat (Gbps) untuk setiap pengguna dan jika kerja-kerja penaiktarafan rangkaian teras tidak diberi perhatian, masalah throughput yang sedang melanda negara akan kekal.

"Potensi kesesakan ataupun titik kesesakan adalah antara rangkaian teras dan BTS. Oleh itu, pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi mesti merancang bagi memastikan capaian 4G sedia ada dioptimumkan dan pada masa yang sama, membuat persiapan ke arah keperluan 5G,” katanya.

Pada November lepas, SKMM telah mengumumkan kerjasama 5G dan mewujudkan sebuah Pasukan Petugas 5G, bagi meneroka kegunaan-kegunaan dan mod 5G yang praktikal, dan juga untuk mengkaji serta menyelaraskan dasar-dasar, peraturan dan perancangan spektrum 5G.

Ia bertujuan memastikan pengguna tidak dibelenggu dengan sebarang isu kesesakan.

Artikel Berkaitan:

Ia selaras dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital yang kukuh, menyeluruh dan berkualiti tinggi tatkala negara melangkah ke fasa kemajuan teknologi yang seterusnya -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!