Jurutera tersilap ganti meter air Syabas, penggunaan dibayar penuh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Top Glove Bhd berkata juruteranya telah tersilap menggantikan meter air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dengan meter air digital syarikat itu pada 11 April 2019.

Syarikat itu dalam kenyataan pada Isnin berkata, bagaimanapun, ia telah bertindak segera selepas dimaklumkan mengenai perkara itu dengan memasang semula meter air Syabas pada 28 Mei 2019.

"Syarikat juga telah membayar sepenuhnya jumlah tersebut iaitu kira-kira RM56,000, yang mana RM52,000 merupakan anggaran penggunaan selama 47 hari, berdasarkan pengiraan Air Selangor,” katanya bagi menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai perkara itu, pada Isnin.

Katanya, beberapa kilang Top Glove telah berjaya memasang meter air digital untuk memantau penggunaan air dalam masa nyata untuk tujuan pendigitalan dan automasi sistem perakaman.

"Syarikat ingin menjelaskan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada inisiatif pendigitalan dan perkara tersebut telah diselesaikan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!