[VIDEO] Mohamad Khir serah kepada pucuk pimpinan UMNO
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO sama ada untuk memilih beliau sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, beliau akan tetap membantu Barisan Nasional untuk mendapatkan kembali kerusi Parlimen Sungai Besar walaupun beliau tidak dipilih untuk bertanding di kerusi itu.
"Soal calon, biar pucuk pimpinan yang menentukan, kita tidak boleh mendahului pucuk pimpinan. Ia terpulang kepada Presiden (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), kalau dia rasa saya boleh menang, bolehlah saya terima, kalau bertanding untuk kalah, untuk apa?” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.
Dr Mohamad Khir juga tidak menolak jika diletakkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kerusi Parlimen Sungai Besar kini disandang Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Muslimin Yahaya daripada Bersatu yang mengalahkan calon BN, Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi dan calon Pas, Mohamed Salleh M Husin pada Pilihan Raya Umum ke-14. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!