Pemberi rasuah perlu juga dikena hukuman
SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) mengesyorkan agar kerajaan mengambil langkah yang lebih drastik dalam menangani amalan rasuah di negara ini.
Presiden GPBSM, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, ia termasuklah mengkaji secara serius individu yang memberi rasuah dengan mengenakan hukuman setimpal dan bukannya setakat menghukum penerima rasuah.
“Rasuah ini mudah saja. Kalau tidak ada yang memberi, maka tidak ada yang menerima.
“Jadi, kerajaan seharusnya mengambil satu langkah drastik di mana jangan dikaji kenapa orang menerima rasuah, sebaliknya mengkaji kenapa orang bagi rasuah. Yang menerima ini kalau tidak ada yang bagi, dia tidak akan terima.
“Kebelakangan ini banyak berlaku birokrasi dalam pentadbiran sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Rofik turut mengesa agar kerajaan melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih ketat dan tegas lagi terhadap pemberi dan juga penerima rasuah.
“Ini kerana saya lihat hukuman sedia ada tidak begitu berkesan dalam menghalang seseorang itu dari terlibat dengan rasuah,” tegasnya.
Beliau turut berpandangan bahawa gejala rasuah di negara ini berada pada tahap kritikal.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar masyarakat sama-sama memainkan peranan untuk memerangi rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!