Medan terakhir bukti sentuhan

Barisan pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Barisan pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan menjelang aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
A
A
A

BEBERAPA ‘muka baharu’ yang diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Brunei pada Jumaat lalu nyata tidak mensia-siakan peluang yang diberi pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Mereka menampilkan kesungguhan tinggi bagi menambat hati Pan-gon memandangkan hanya 23 pemain yang akan dipilih dalam senarai akhir bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia 2023 nanti.

Situasi itu sudah pasti memberikan persaingan sihat dalam kalangan setiap pemain, sekali gus mampu menjelmakan ‘ngauman’ Harimau Malaya dalam kempen kelayakan tersebut.

Justeru, jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berkata, barisan pemain Harimau Malaya harus merebut peluang yang ada apabila berdepan Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan pada Rabu.

“Saya berasakan lawan Hong Kong kali ini akan jadi medan sebenar untuk Pan-gon melihat pemain-pemain yang sesuai untuk menggalas cabara pasukan kebangsaan pada Kelayakan Piala Asia nanti.

“Mungkin lawan Brunei tempoh hari beliau nak cuba beberapa pemain baharu yang belum dapat peluang bersama pasukan pasukan sebelum ini. Kiranya beliau mahu lihat depan mata kualiti yang ada pada pemain itu.

“Jadi kalau mereka betul-betul nak berada dalam senarai akhir, mereka kena tunjuk apa kemampuan yang dimiliki untuk benar-benar layak berada dalam pasukan kebangsaan ketika menentang Hong Kong.

“Tunjukkan rentak permainan terbaik, tahap disiplin tinggi bagi meyakinkan barisan kejurulatihan yang ada. Sebab lawan Hong Kong akan lebih mencabar berbanding Brunei,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Dalam aksi persahabatan menentang Brunei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat, Harimau Malaya yang beraksi buat kali pertama di laman sendiri selepas dua tahun susulan Covid-19, meraih kemenangan 4-0.

Namun, ujian lebih besar menanti anak-anak buah Pan-gon apabila berdepan Hong Kong di venue sama sebelum mereka menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 minggu depan.

Dalam pada itu, Wan Jamak mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ ketika diminta mengulas mengenai trio naturalisasi - Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai soal pemilihan pemain. Bagi saya, itu semua terletak kepada jurulatih sama ada mahu menyenaraikan mereka atau tidak.

“Apa yang penting kita sebagai penyokong perlu hormat keputusan yang dibuat jurulatih kerana pada akhirnya yang bertanggungjawab dengan keputusan adalah jurulatih,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!