Bukit Golan hak siapa?

No Image Caption
A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mengundang kecaman dan bantahan negara antarabangsa termasuk Malaysia selepas tindakan melulu beliau mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Israel pada 2017 selain mengambil langkah kontroversi memindahkan kedutaan negara itu dari Tel Aviv ke Kota Lama tersebut.

Kali ini, keputusan AS yang mengiktiraf kedaulatan Israel terhadap Bukit Golan dilihat bakal mencetuskan krisis baharu di Timur Tengah walaupun Tel Aviv sewenang-wenangnya menggelar ia sebagai 'kemenangan diplomatik' buat mereka.

Segelintir pihak berpendapat ia bertujuan untuk menyokong Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang sebelum ini dihimpit skandal rasuah untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya pada bulan depan.

Trump sendiri pernah menyatakan akan sentiasa menyokong Israel dan menolak anti-Semitisme.

Campur tangan pentadbiran Trump dalam isu melibatkan wilayah diduduki Israel semakin berleluasa dan ia sedikit sebanyak telah memberi 'kelebihan' kepada sekutu kuat AS itu.

Syria dan sekutunya mengutuk keras pengiktirafan unilateral dibuat Trump malah Damsyik berikrar mengambil segala langkah untuk membebaskan Bukit Golan serta menyifatkan kenyataan jutawan hartanah terbabit terhadap isu itu sebagai ancaman kepada kestabilan dan keamanan antarabangsa.

Ia juga jelas menunjukkan sikap membuta tuli Washington terhadap entiti Zionis yang juga sekutu rapatnya walaupun ia ditentang negara antarabangsa.

Damsyik menegaskan kenyataan provokasi Trump itu tidak sesekali akan mengubah hakikat bahawa Golan kekal milik Arab dan Syria.

Artikel Berkaitan:

Rusia turut menyifatkan keputusan Trump sebagai langkah tidak bertanggungjawab yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Moscow memberi amaran dasar u-turn AS itu boleh mencetuskan konflik baharu. "Sudah tentu keputusan seumpama itu boleh memburukkan lagi situasi yang sudah tegang di Timur Tengah," ujar jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

Malah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan melihat deklarasi itu telah membawa wilayah itu ke ambang krisis dan ketegangan baharu.

"Kita tidak boleh benarkan legitimasi pendudukan ke atas Bukit Golan," katanya ketika berucap dalam mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

Iran yang merupakan sebuah lagi negara sekutu rapat Syria juga menyelar keputusan Trump yang menandakan peralihan dramatik dalam dasar AS terhadap kawasan itu yang diduduki Israel pada 1967.

No Image Caption

"Pengiktirafan itu tidak sah dan ia tidak akan mengubah kenyataan Golan milik Syria," kata jurucakap Kementerian Luar di Teheran.

Keputusan jutawan hartanah itu turut ditolak Kesatuan Eropah (EU).

Blok terbabit menegaskan pendirian mereka terhadap 'hak' Bukit Golan tidak akan berganjak walaupun AS telah membuat langkah itu.

Pengembalian wilayah itu sering menjadi tuntutan utama Syria yang kini dilanda perang saudara sejak negara itu terjerumus dalam konflik pada 2011.

Minggu lalu, AS menggugurkan tuduhan 'pendudukan Israel' di dalam laporan tahunan hak asasi manusia mereka walaupun Jabatan Negara menegaskan perubahan itu kononnya tidak mengubah dasar mereka.

Sejarah 'perebutan' Bukit Golan

Dataran berbatu di barat daya Syria itu mempunyai kepentingan politik dan strategik. Israel menduduki Bukit Golan ketika peringkat akhir Perang Enam Hari 1967.

Kebanyakan penduduk Arab Syria larikan diri dari kawasan itu ketika konflik tersebut tercetus dan susulan itu garisan gencatan senjata diwujudkan dan wilayah itu berada di bawah kawalan tentera Israel.

Syria pernah cuba untuk menguasai semula Bukit Golan ketika Perang Timur Tengah 1973, namun alami kekalahan besar.

Kedua-dua negara kemudiannya menandatangani perjanjian gencatan senjata pada 1974. Susulan itu, pasukan pemerhati PBB telah ditempatkan di garisan gencatan senjata itu sejak 1974.

Israel secara unilateral merampas Bukit Golan pada 1981, namun langkah itu tidak diiktiraf negara antarabangsa.

Ia mempunyai lebih 30 penempatan haram didiami 20,000 pendatang Yahudi selain terdapat kira-kira 20,000 penduduk Syria di kawasan itu kebanyakan mereka adalah puak Druze.

Kawasan itu adalah sumber air utama yang mana tadahan hujan di Golan mengalir ke Sungai Jordan selain ia menyediakan satu pertiga bekalan air Israel. Tanah di kawasan itu subur dan digunakan untuk tanaman anggur dan mengusahakan ternakan.

Kedudukannya yang strategik menyebabkan Syria mahu mendapatkan semula Bukit Golan sebagai sebahagian daripada perjanjian damai.

Pada akhir 2003, Presiden Syria, Bashar al-Assad memaklumkan ia bersedia untuk memulihkan rundingan damai dengan Israel.

Ketika rundingan damai tajaan AS pada 1999-2000, bekas perdana menteri Israel, Ehud Barak pernah membuat tawaran untuk mengembalikan semula Bukit Golan kepada Syria.

Pada 1999, tuntutan utama Syria yang mahu Israel menarik diri secara sepenuhnya dari garisan sempadan sebelum 1967 telah menjejaskan rundingan tersebut yang mana ia didakwa memberi Damsyik kawalan ke atas pantai timur Laut Galilee yang merupakan sumber utama air Israel.

Pada 2008, perbincangan tidak langsung antara Israel dan Syria disambung yang menyaksikan kerajaan Turki sebagai perantara, namun rundingan itu ditangguhkan selepas bekas perdana menteri, Ehud Olmert meletak jawatan kerana didakwa terlibat rasuah. - Agensi

Setahun selepas itu, kerajaan Israel di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu mahu mengambil langkah lebih tegas terhadap garisan di Bukit Golan.

Pentadbiran bekas presiden AS, Barack Obama mengumumkan rundingan semula antara Israel dan Syria sebagai salah satu daripada matlamat dasar luarnya, namun perang saudara tercetus pada 2011 menghalang usaha itu. - Agensi

Apa yang anda perlu tahu tentang Bukit Golan?

Seperti biasa, Israel tidak akan mematuhi atau menghormati sebarang resolusi yang di buat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).

Terbaru, rejim Zionis melanggar resolusi UNSCR 242 pada 1967, UNSCR 338 (1973) dan UNSCR 497 (1981) yang mengharamkan penaklukan Israel ke atas Bukit Golan.

Isnin lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani pengisytiharan Bukit Golan sebagai milik negara haram Zionis itu.

Berikut merupakan fakta ringkat berkenaan Bukit Golan:

- Bukit Golan merupakan kawasan seluas 1,800 kilometer persegi yang menempatkan sempadan Israel dan Syria.

- Sebahagian besar Bukit Golan kini ditakluk oleh Israel.

- Bukit Golan adalah wilayah berdaulat Syria sehingga Jun 1967.

- Pada 1967, Israel melancarkan Perang Enam Hari atau Perang Jun demi merampas kawasan tersebut.

- Peperangan itu merupakan konflik ketenteraan melibatkan Mesir, Jordan dan Syria. - Meskipun tidak menguasai keseluruhan kawasan Bukit Golan, Israel mengawal titik strategiknya.

- Kedudukan Bukit Golan yang tinggi menyediakan kawasan pemantauan yang luas ke dalam Syria.

- Tiga resolusi dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) 242 pada 1967, UNSCR 338 pada 1973 dan UNSCR 497 pada 1981, mengharamkan tindakan Israel.

- Israel terus melanggar konsensus dan undang-undang antarabangsa, dengan membawa Amerika Syarikat mengiktiraf Bukit Golan adalah milik Israel.

Perebutan Bukit Golan: Reaksi dunia

AMERIKA Syarikat (AS) sekali lagi menyemarakkan api kemarahan masyarakat dunia susulan tindakan kontroversi mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik rejim Israel. Pada pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Washington Isnin lalu, Presiden Donald Trump menandatangani resolusi yang mengiktiraf 'kedaulatan' Israel di Bukit Golan yang sekian lama menjadi rebutan.

Rentetan tindakan angkuh Presiden Trump itu, beberapa negara tampil menyuarakan bantahan terhadap keputusannya yang dilihat jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Antara yang memberi reaksi termasuk:

Iran Dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Iraq Adil Abdul-Mahdi,Presiden Iran Hassan Rouhani menggariskan keperluan untuk kerjasama lebih rapat antara negara serantau susulan permintaan melampau Tel Aviv dan keputusan salah yang diambil Washington.

"Kenyataan membimbangkan berhubung pelanggaran hak Palestin dan Syria, terutama tentang Bukit Golan amat membahayakan keselamatan serantau.

"Saya berharap kerjasama serantau akan mampu mengelakkan situasi tegang dan ketidakstabilan di rantau ini," kata Presiden Rouhani.

Bercakap kepada ahli kabinetnya, Presiden Rouhani turut mengecam keputusan Trump selain menegaskan tindakan seorang lelaki (Trump) memberikan tanah milik sebuah negara kepada pihak perampas adalah amat tidak wajar.

Turki

Dikenali sebagai penentang kerajaan Syria sepanjang tempoh lapan tahun berlangsungnya perang di negara Arab, Turki turut membidas keputusan Trump dengan alasan AS tidak mempunyai hak untuk 'menyerahkan' Golan kepada Israel.

"Tanah milik siapa yang awak serahkan kepada Israel,Trump? Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Bukit Golan adalah milik Syria," kata Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam satu himpunan di Istanbul.

Jumaat lalu, Turki yang memegang jawatan presiden Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mengadakan mesyuarat kecemasan berhubung isu terbabit dan Presiden Erdogan menegaskan legitimisasi pendudukan Bukit Golan tidak harus dibenarkan.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu pula menempelak beberapa negara Arab yang membisu seribu bahasa berhubung keputusan Trump, disebabkan rasa takut terhadap AS dan Israel.

"Saya tidak memaksudkan kesemua negara Arab. Saya maksudkan negara yang tunduk kepada AS dan enggan menyuarakan bantahan berhubung pendudukan Israel di al-Aqsa.

Lubnan

Presiden Lubnan Michel Aoun berkata, pandangan AS berhubung 'kedaulatan' Israel di Golan menyemarakkan kebimbangan di negara serantau, dan ia turut memperlekehkan undang-undang antarabangsa.

"Tindakan AS mengiktiraf Bukit Golan sebagai sebahagian Israel memperkecilkan segala dasar dan peraturan PBB dan juga undang-undang antarabangsa.

"Perkara ini merupakan isu besar yang mencetuskan rasa bimbang negara yang terletak berhampiran dengan Israel," kata Presiden Aoun ketika mesyuarat bersama rakan sejawat dari Rusia, Vladimir Putin di Moscow.

Rusia

Berhubung keputusan AS terhadap 'kedaulatan' Israel di Bukit Golan, Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova berkata, ia mungkin permulaan kepada 'kejutan' Trump dalam konflik Israel-Palestin.

"Kita baru mendapat reaksi Kesatuan Eropah dilihat terkejut dengan tindakan rakan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mereka berhubung undang-undang antarabangsa, ini kerana kita masih belum membincangkan kejutan utama, 'Deal of the Century ' yang dijanjikan Washington. Mungkin ini adalah permulaan kejutan untuk kita semua," kata Zakharova.

Dalam pada itu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov turut memberi amaran tentang akibat buruk susulan keputusan yang diambil Trump.

“Keputusan terbaharu AS berhubung Bukit Golan merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan, dan keputusan sedemikian akan memberi kesan negatif terhadap penyelesaian politik di Timur Tengah dan juga Syria, "katanya.

Negara Kesatuan Eropah (EU)

Belgium, Britain, Perancis, Jerman dan Poland, lima negara Kesatuan Eropah yang turut menganggotai Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menegaskan pandangan Eropah berhubung isu Golan tidak berubah.

"Kami tidak mengiktiraf 'kedaulatan' Israel ke atas wilayah yang didudukinya sejak Jun 1967, termasuk Bukit Golan dan kami juga tidak menganggap ia sebahagian dari Israel,"kata Duta Belgium ke PBB Marc Pesteen de Buytswerve yang disokong empat duta negara Eropah lain.

"Kami sepakat menyuarakan kebimbangan berhubung akibat jangka panjang pendudukan tidak sah dan juga mengenai kesan serantau yang lebih luas," katanya lagi.

Syria

Susulan keputusan AS mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel, Syria menggesa UNSC mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keputusan terbabit.

Delegasi Syria ke PBB menggesa diadakan sesi pertemuan bagi membincangkan isu Bukit Golan dan pelanggaran resolusi UNSC yang berkaitan oleh ahli tetap.

Pada 1967 Israel melancarkan perang besar-besaran terhadap wilayah Arab ketika ia menguasai sebahagian besar Bukit Golan dan menyatukannya empat tahun kemudian, satu langkah yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.

Syria berulang kali menegaskan kedaulatannya ke atas Bukit Golan selain mahu kembali menguasai wilayah berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!