Anjakan transformasi martabat imej sepak takraw

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Syed Azmir
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. Gambar kecil: Syed Azmir
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Perlis (PSTPs) pada dasarnya bersetuju dengan acara regu dan beregu campuran sepak takraw yang akan diperkenalkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai pada Julai depan.

Malah menurut Setiausaha Kehormat PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad, pihaknya amat yakin bahawa pengenalan acara baharu itu akan mendapat sambutan menggalakkan dari negara anggota, namun semua negara anggota diberi kebebasan untuk memilih dan menyertai acara regu dan beregu campuran tersebut.

Tegasnya, PSTPs melihat usaha ISTAF memperkenalkan acara baharu tersebut merupakan satu anjakan transformasi untuk memartabatkan imej sepak takraw di mata sukan dunia.

“Kepelbagaian acara sepak takraw oleh ISTAF juga sudah pasti berada di landasan terbaik agar sepak takraw mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) seterusnya dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris 2024.

“PSTPs menyokong penuh kenyataan profesional Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kadir yang berpendirian untuk tidak mempertikaikan batasan agama ditimbulkan pemimpin muda sebuah pertubuhan politik negara ini kerana menyedari akan kesan sensitivitinya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Pada masa sama Syed Azmir, PSTPs memuji pendirian Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) serta ISTAF yang telah sekian lama memberi ruang dan peluang kepada pemain sepak takraw Islam negara anggota untuk menutup aurat.

“Sifat terpuji ISTAF dan ASTAF tersebut telah berjaya mempamerkan kepada masyarakat sukan dunia bahawa mereka sentiasa peka dan bertindak bijak untuk menjaga keharmonian kebebasan beragama tanpa sekatan di kalangan para pemain.

“PSTPs juga amat kesal dengan isu yang telah ditimbulkan pemimpin muda tersebut yang hanya seolah-olah mahu menyalahkan dan menuding jari kepada ISTAF bertujuan merosakkan imej dan kredibiliti ISTAF tanpa melihat fakta jelas di sekelilingnya.

“PSTPs juga melihat acara regu dan beregu campuran ISTAF tersebut tidak langsung melibatkan sentuhan fizikal dan kami juga tidak nampak akan keburukkannya dan lagi pun acara ini dimainkan secara terbuka tanpa syak wasangka yang pastinya penilaian secara tepat serta objektif dapat dilakukan sama ada acara campuran tersebut bersifat positif atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama Syed Azmir, menasihati pihak terlibat supaya tidak meletakkan tanggapan negatif terlalu awal terhadap usaha murni ISTAF untuk mempelbagaikan acara sepak takraw selaras dengan visi dan misi ISTAF untuk memartabatkan imej serta maruah sepak takraw di Sukan Olimpik.

“Kami yakin ISTAF sentiasa bersikap terbuka untuk menerima apa jua pandangan dari semua pihak demi kemajuan dan pembangunan sukan sepak takraw.

“Apapun yang lebih penting ISTAF berjaya dengan cemerlang membawa sepak takraw ke seluruh dunia agar ianya dikenali dan dimainkan sebagai sukan bertaraf global,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!