Umpama misi hidup mati

Arul memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika aksi menentang India di Stadium Hoki Gelora Bung Karno pada Ahad.
Arul memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika aksi menentang India di Stadium Hoki Gelora Bung Karno pada Ahad.
A
A
A

“KITA akan memberikan segala-galanya apabila berdepan Jepun pada perlawanan terakhir esok (Selasa) dan kita akan menang perlawanan tersebut.”

Itu keazaman pengendali The Speedy Tigers, Arul Selvaraj menjelang perlawanan terakhir menentang Jepun dalam saingan Super 4 Piala Asia 2022 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta pada Selasa.

Malah, Arul mahu barisan pemainnya 'menikmati' aksi tersebut dalam misi mereka memburu tiga mata berharga seterusnya layak ke pentas final.

“Sebelum bertolak ke Jakarta, saya telah beri amaran kepada para pemain untuk memberikan aksi terbaik masing-masing bagi menghadapi Piala Asia kali ini.

“Jika gagal beraksi pada tahap terbaik, Piala Asia ini mungkin merupakan kejohanan terakhir mereka bersama-sama pasukan kebangsaan.

“Tetapi mereka berjaya membuktikan kemampuan diri masing-masing sehingga kini, ia sesuatu yang menggembirakan saya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Mengulas prestasi pada perlawanan berdepan Korea Selatan dan India sebelum ini, Arul mengakui berpuas hati dengan persembahan dipamerkan terutamanya sikap dalam kalangan barisan pemainnya.

“Para pemain berjaya mempamerkan karakter yang positif apabila tidak mengalah, malah mereka berjuang berhabis-habisan untuk meraih kemenangan biarpun ketinggalan.

“Kemahiran penting, namun sikap juga merupakan aspek paling penting dalam memastikan progres sesebuah pasukan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan,” ujarnya.

Pada masa sama, Arul menegaskan, masih terdapat ruang penambaikan yang perlu dilakukan bagi memantapkan prestasi Speedy Tigers.

“Saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang berusaha menghasilkan keputusan positif untuk pasukan dalam seperti yang dapat dilihat dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Tetapi apabila berkaitan dengan kesilapan individu, saya dan Pegawai Psikologi Institut Sukan Negara (ISN) sedang melihat kepada penyelesaian perkara ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!