JPJ Selangor saman 37 pemandu kenderaan dalam dua jam
KLANG - Seramai 37 pemandu kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) di Plaza Tol Bukit Raja di sini, pada Isnin.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, secara keseluruhan sebanyak 65 buah kenderaan persendirian dan komersial diperiksa dalam operasi pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu.
"29 buah lori dan lapan buah kenderaan persendirian diambil tindakan dan sebanyak 64 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan utama dikesan adalah lesen memandu tamat tempoh, lesen perdagangan (GDL) tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insuran, dan kesalahan teknikal,"katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Menurut Khairul Khar, bagaimanapun tiada kenderaan disita sepanjang operasi selama dua jam itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!