WHO tidak panik penyebaran cacar monyet

Rosamund Lewis - Foto UN Web TV
Rosamund Lewis - Foto UN Web TV
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan buat masa ini tidak bimbang mengenai penyebaran cacar monyet di luar negara- negara Afrika.

Pertubuhan kesihatan itu turut mengulangi bahawa tidak ada sebab untuk berasa panik terhadap virus tersebut yang menyebabkan penyakit teruk itu tetapi penghidapnya boleh pulih dalam tempoh beberapa minggu.

Ditanya semasa taklimat epidemiologi sama ada virus itu mungkin mencetuskan satu lagi pandemik, pakar cacar monyet WHO, Dr Rosamund Lewis menyatakan, buat masa ini pihaknya tidak bimbang tentang perkara tersebut.

Namun adalah penting katanya, untuk mengambil langkah-langkah pantas bagi mengekang penyebarannya.

Cacar monyet adalah berkaitan dengan penyakit cacar.

Penyakit cacar telah membunuh berjuta-juta penduduk di seluruh dunia setiap tahun sebelum ia dihapuskan pada tahun 1980.

Bagaimanapun, cacar monyet kurang teruk berbanding penyakit cacar dan kebanyakan penghidapnya akan pulih dalam masa tiga hingga empat minggu.

Gejala awal penyakit cacar monyet adalah demam panas, nodus limfa bengkak dan lepuh ruam seperti yang dihidapi penghidap cacar air.

Pakar-pakar perubatan kini cuba mendapatkan kepastian mengapa virus tersebut merebak ke negara-negara yang tidak pernah mempunyai kes cacar monyet dan mencari punca kenapa ia menjangkiti lelaki-lelaki muda. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!