Malaysia kecam tindakan Israel ceroboh masjid Al-Aqsa
PUTRAJAYA - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan Israel di masjid Al-Aqsa dan sekitarnya pada Ahad lalu.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan terbaharu itu sememangnya merupakan tindakan pencerobohan oleh rejim penjajah Israel dan pelampau Israel yang menyemarakkan lagi api permusuhan di dalam serta di luar rantau tersebut.
"Pencerobohan tersebut adalah provokasi dan pelanggaran yang jelas terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa," katanya pada Selasa.
Dalam pada itu, masyarakat antarabangsa turut digesa segera menuntut rejim Israel
menghentikan sebarang tindakan provokasi bagi menjamin keamanan dan kestabilan.
"Malaysia berdiri teguh solidariti bersama rakyat Palestin dan menegaskan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam.
Malaysia juga sentiasa menzahirkan sokongan perjuangan Palestin untuk mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel, sekali gus merealisasikan aspirasi untuk sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!