Kemalangan pergi-balik kerja membimbangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saban hari pasti ada berita mangsa kemalangan sama ada yang dalam perjalanan ke tempat kerja atau dari tempat kerja mahu pulang ke rumah.

Kajian yang pernah dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama universiti awam mendapati 76.9 peratus kemalangan perjalanan ke tempat kerja membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berbanding pemandu kenderaan lain.

Statistik Perkeso itu yang sudah tentunya membimbangkan, malah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu Bernama ia semakin serius.

“Secara purata, dua orang pekerja maut setiap hari dalam kemalangan sewaktu perjalanan pergi dan balik kerja. Yang menyedihkan, kebanyakannya membabitkan motosikal,” kata beliau dalam wawancara melalui e-mail baru-baru ini.

Peningkatan ketara

Keadaan ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan kerana statistik Perkeso mendapati jumlah kemalangan semasa perjalanan pergi dan balik kerja menunjukkan peningkatan agak ketara tahun demi tahun.

Pada tahun 2018, sebanyak 35,195 kes atau 48 peratus adalah kemalangan perjalanan semasa berulang-alik ke tempat kerja daripada 72,631 pelbagai kes kemalangan direkodkan.

Berbanding tahun 2017, bilangan kemalangan perjalanan berkaitan pekerjaan adalah sebanyak 33,319 kes dilaporkan manakala pada tahun 2016 ia mencatatkan sebanyak 31,314 kes.

Sementara itu, sebanyak 28,579 kes dilaporkan berlaku pada 2015 berbanding 28,037 kes pada 2014 dan 27,659 kes pada 2013.

Artikel Berkaitan:

Apa yang turut membimbangkan ialah apabila statistik juga menunjukkan trend kematian akibat kemalangan perjalanan pergi balik ke tempat kerja adalah lebih tinggi berbanding kemalangan di tempat kerja/industri.

Ini jelas menunjukkan permasalahan ini perlu ditangani segera.

Misalnya pada tahun 2018, kematian akibat perjalanan pergi balik ke tempat kerja adalah sebanyak 666 pekerja maut berbanding dengan 222 kematian kemalangan di tempat kerja.

“Kajian sebelum ini juga menunjukkan lebih 52 peratus kemalangan perjalanan berlaku dalam perjalanan pergi ke tempat kerja dan hanya dalam lingkungan lima kilometer sahaja daripada destinasi.

“Biasanya kemalangan berlaku di waktu puncak, waktu pagi di mana pekerja bergegas ke tempat kerja. Ada yang terpaksa bergerak ke beberapa destinasi termasuk menghantar anak ke sekolah atau membeli sarapan sebelum ke pejabat.

“Akibat mengejar masa, ada di antara mereka memandu atau menunggang kenderaan secara tergesa-gesa sehingga mengabaikan aspek keselamatan” kata Lee.

Apa penyebabnya?

Menurut Pengerusi NIOSH itu lagi, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan perjalanan berkaitan pekerjaan. Antaranya, pemakaian topi keledar tidak betul, cara menunggang secara bahaya, memandu melebihi had laju, keletihan dan juga kenderaan tidak diselenggarakan dengan betul.

Bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit ketika memandu atau menunggang motosikal dikenalpasti menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap 300 pemandu di sekitar Lembah Klang pada 2016 mendapati 43.4 peratus daripada responden mengaku menggunakan telefon bimbit ketika memandu manakala 61.9 peratus menggunakannya ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Sesuatu yang menyedihkan adalah majoriti pengguna jalan raya menyedari penggunaan gajet tersebut merupakan antara punca kemalangan, namun masih ramai enggan berubah sikap, kurang disiplin dan degil meneruskan tabiat buruk itu.

Walhal, budaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu secara tidak langsung boleh mengakibatkan fokus pemanduan terjejas sekitar lima hingga 10 saat atau pada kelajuan normal di lebuh raya, kenderaan seolah-olah bergerak tanpa kawalan kira-kira 160 meter.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan pekerja semata-mata kerana ada di antara mereka terpaksa membaca mesej atau menjawab panggilan ketua pejabat.

“Masih ramai majikan yang tidak prihatin terhadap keselamatan pekerja mereka dan menghantar mesej arahan atau membuat panggilan tanpa kisah sama ada pekerja tersebut sedang memandu atau menunggang motosikal.

“Pekerja pula selalunya berasa serba salah dan terpaksa menjawab mesej atau panggilan majikan bagi mengelakkan diri dikenakan tindakan,” kata Lee.

Impak

Mengulas isu ini, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John R Marin berkata impak kemalangan ulang-alik kerja adalah sangat besar kerana ia bukan sahaja mengakibatkan pelbagai kecederaan kepada pekerja sehingga ada mengalami kecacatan kekal bahkan paling tragis kehilangan nyawa.

Kesannya, keluarga mangsa kehilangan punca pendapatan manakala organisasi serta negara akan kehilangan pekerja mahir dan bagi Perkeso pula, situasi ini akan meningkatkan perbelanjaan agensi ini dari segi pampasan dan faedah yang perlu dibayar kepada waris mangsa.

Bagi tahun 2018, anggaran jumlah perbelanjaan Perkeso untuk kemalangan perjalanan yang melibatkan kematian, hilang upaya dan kecederaan adalah dalam lingkungan RM600 juta hingga RM800 juta.

"Situasi ini pastinya membimbangkan kerana negara kini hampir mencapai status negara maju memerlukan ramai tenaga kerja mahir dan profesional. Jika ramai pekerja maut di jalan raya, ia merupakan satu kerugian.

“Ini kerana, kajian kami bersama universiti awam mendapati 65 peratus kemalangan perjalanan ulang-alik kerja melibatkan golongan muda berumur di bawah 40 tahun manakala 80 peratus adalah golongan pekerja lelaki,” jelasnya sambil menambah kata bahawa Perkeso amat memandang berat akan permasalahan ini.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pencarum, Perkeso telah melaksanakan pelbagai program berkaitan dengannya termasuklah menjalinkan kerjasama pihak berkaitan seperti MIROS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Misalnya, Program Sokongan Pematuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kepada industri kecil dan sederhana, Program Sokongan Keselamatan Perjalanan bersama MIROS serta Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Pemutihan ‘Black Spot’ iaitu inisiatif bersama PDRM.

Hakikatnya, permasalahan ini memerlukan usaha bersepadu semua pihak termasuklah peranan majikan mendidik pekerja mengenai kepentingan pemanduan berhemah selain pekerja sendiri perlu mengubah sikap untuk lebih berhati-hati di jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!