Kerja baik pulih jalan rosak di HSA dimulakan: Onn Hafiz
JOHOR BAHRU - Kerja-kerja membaik pulih jalan di kawasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang didapati rosak sebelum ini sudah mula dijalankan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, semasa lawatannya pagi Selasa, beliau mendapati kerja membaik pulih jalan berkenaan membabitkan jarak 120 meter di hadapan poliklinik hospital berkenaan.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi kelulusan peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih bekalan elektrik, sistem elektrik dan mekanikal di HSA.
"Terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling, Tian Soon, kementerian dan semua pihak yang berusaha untuk membantu rakyat. Insya-ALLAH, semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Selasa.
Pada Isnin, Onn Hafiz melakukan lawatan mengejut bagi melihat sendiri keadaan fasiliti, jalan raya dan landskap di hospital itu serta menggesa syarikat konsesi bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera dalam membaik pulih jalan dan memperindah landskap HSA.
Beliau pada masa sama turut menghubungi pihak EPU dan Jabatan Kerja Raya agar peruntukan bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan di HSA diluluskan segera. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!