Pengawal peribadi didenda tampar wanita langgar Lamborghini majikan

Nor Razman (kiri) keluar dar kamar perbicaraan Mahkamah Majistret Kulai di sini pada Selasa
Nor Razman (kiri) keluar dar kamar perbicaraan Mahkamah Majistret Kulai di sini pada Selasa
A
A
A

KULAI - Tindakan seorang pengawal peribadi menampar seorang wanita iaitu pemandu kereta pacuan empat roda yang terlibat dalam insiden tular melibatkan konvoi kereta mewah pada Mac lalu menerima padah apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Tertuduh, Nor Razman Abd Razak, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan kes itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, Nor Razman didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 28 tahun dengan cara menampar di bahagian mukanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kilometer (km) 36 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) kira-kira jam 6.10 petang pada 18 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan polis bertindak menahan seorang wanita dipercayai pemandu sebuah kereta pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan bersama konvoi beberapa kereta mewah di lebuh raya berkenaan.

Kejadian itu kemudiannya tular di laman sosial apabila rakaman video memaparkan pacuan empat roda itu memandu secara berbahaya sebelum melanggar sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.

Dalam rayuannya, tertuduh yang diwakili Peguam, Mohd Azlan Shah Mohd Allias memohon agar mahkamah mengenakan denda yang minimum kepada tertuduh kerana dia mempunyai isteri, tiga anak dan ibu bapa yang perlu ditanggung dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,400.

Mohd Azlan juga menjelaskan, tertuduh telah menyesali tindakan dilakukannya itu selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan mahkamah sepanjang tempoh siasatan dilakukan.

Tertuduh juga kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah ketika kejadian itu berlaku, dia adalah penumpang yang mana majikannya memandu kereta mewah jenis Lamborghini sebelum terlibat dalam kemalangan akibat dilanggar wanita yang dicederakannya.

Katanya, tindakan itu dilakukan kerana ketika kejadian dia hanya mahu melakukan tugas sebagai pengawal peribadi tetapi telah bertindak di luar kawalan kerana berang dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam dan perlu dijadikan rujukan untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda maksimum itu selain mengarahkan tertuduh menjalani penjara dua bulan sekiranya gagal membayarnya.

Dalam penghakimannya, Sharifah Maleeha turut menasihatkan tertuduh agar tidak lagi membuat keputusan sendiri selain patuh kepada undang-undang negara.

“Apa pun berlaku kita kena ingat negara ada undang-undang. Sepatutnya kamu ikut undang-undang, pergi buat laporan polis bukan ambil tindakan sendiri.

“Kehidupan sekarang, apa pun yang kita buat semuanya kita boleh anggap dirakam, zaman ‘viral’ jadi berhati-hati. Bila dah jadi begini sabit kes jenayah kamu sebenarnya merugikan masa depan kamu,” katanya.

Dalam prosiding berasingan, mangsa yang ditampar tertuduh turut didenda RM2,000 kerana mengaku bersalah gagal mengawal kenderaan dipandunya sehingga mengakibatkan kemalangan bersama sebuah kereta jenis Lamborghini iaitu kereta dipandu majikan Nor Razman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!