[VIDEO] 'Rakyat dah meluat percaturan tukar kerajaan'

Program Pemukiman Pejuang negeri Kelantan yang dihadiri oleh ahli-ahli di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu pada Selasa.(Gambar Kecil) Mukhriz.
Program Pemukiman Pejuang negeri Kelantan yang dihadiri oleh ahli-ahli di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu pada Selasa.(Gambar Kecil) Mukhriz.
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berpandangan bahawa rakyat sudah meluat dengan percaturan politik pihak tertentu yang mendakwa kononnya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat bertujuan menukar kerajaan dan Perdana Menteri.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu langsung tidak memberi tumpuan kepada perkara-perkara untuk menumbangkan kerajaan atau menukar kepimpinan sedia ada.

“Hal-hal percaturan politik nak tumbangkan kerajaan sedia ada dan nak tukar Perdana Menteri itu, kami tak campur tangan. Bagi kami, tumpu persiapan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya ingat rakyat pun dah meluat asyik nak tukar-tukar ni, dah penat dah,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Pemukiman Pejuang negeri Kelantan di Grand Riverview Hotel pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Pada Isnin, akhbar melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara sinis mencabar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yasin juga bekas Perdana Menteri 'menekan butang' untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika benar-benar memiliki sokongan 119 ahli Parlimen seperti didakwa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, dakwaan tersebut tidak boleh sekadar dakwaan sahaja malah perlu dibuktikan bahawa Muhyiddin benar-benar mendapat sokongan lebih 110 daripada 220 ahli Parlimen ketika ini.

“Kita kena ingat situasi di Hotel Sheraton dulu, cara beliau nak membuktikan kononnya mempunyai jumlah yang cukup hanyalah dengan surat yang ditandatangani oleh presiden parti masing-masing menyatakan bahawa jumlah ahli Parlimen daripada parti itu menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Termasuklah daripada Bersatu sendiri yang mana Muhyiddin sendiri menandatangani suratnya, menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri dan menyatakan ada 36 ahli Parlimen Bersatu menyokong beliau walhal kita tahu enam daripadanya termasuk saya tidak bersama,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu sudah tidak terpakai dan tidak boleh diulangi lagi kali ini.

“Selepas ini tidak bolehlah nak ulang taktik yang sama. Sebab waktu itu pun dah terbukti salah.

“Kali ini kena betul-betul buktikan kalaulah betul dia nak ambil alih kerajaan sebelum PRU15,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!