Kerajaan digesa gubal akta anti buli segera: ASWA

Presiden ASWA, Wan Azliana Wan Adnan (dua dari kiri) dan peguam, Abdul Hayyi Salim (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Presiden ASWA, Wan Azliana Wan Adnan (dua dari kiri) dan peguam, Abdul Hayyi Salim (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pertubuhan Aspirasi Wanita (ASWA) mendesak kerajaan menggubal satu akta khusus berkaitan anti buli bagi mengekang masalah itu di peringkat sekolah.

Presidennya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, sudah tiba masanya satu undang-undang mengenai buli diperkasakan ekoran akta sedia ada tidak cukup untuk menangani gejala berkenaan.

"Kami mengadakan perjumpaan bersama Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu kes buli yang semakin berleluasa selain meminta sokongan beliau.

"Kami membawa bersama memorandum untuk dikemukakan kepada beliau, memberitahu kes buli yang berlaku di Malaysia dan kesannya terhadap mangsa.

"Dr Mahathir mendengar dan kami boleh katakan beliau menyokong ASWA untuk mendesak akta anti buli ini diwujudkan," katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan bersama bekas Perdana Menteri itu di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Selasa.

Pada perjumpaan selama satu jam itu, Dr Mahathir turut bertemu dengan tiga keluarga mangsa buli bagi melihat kesan yang dialami mereka.

Nurul Faradila Abdullah, ibu kepada mangsa buli menunjukkan kecederaan yang dialami oleh anaknya akibat kesan buli.
Nurul Faradila Abdullah, ibu kepada mangsa buli menunjukkan kecederaan yang dialami oleh anaknya akibat kesan buli.

Mengulas lanjut, Wan Azliana memaklumkan, satu memorandum berkenaan desakan itu akan diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) hari ini.

"Rakyat Malaysia melihat kes buli ini sebagai kes peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan mereka.

"Apa yang kami ingin sampaikan adalah, mangsa mahu bercakap (dibuli) namun tidak diberikan peluang untuk memberitahu, jadi kes itu akan dibiarkan sahaja hingga menyebabkan mangsa berpindah sekolah kerana takut," katanya.

Dalam pada itu Wan Azliana turut mendesak satu prosedur operasi standard (SOP) dari KPM mengenai siasatan kes buli di sekolah bagi mengelakkan mangsa jadi karenah birokrasi di semua peringkat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!