Penjawat awam perlu selesai aduan rakyat tanpa birokrasi

Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap. Turut kelihatan Razali(kanan)
Aminuddin (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap. Turut kelihatan Razali(kanan)
A
A
A

SEREMBAN - Semua penjawat awam diminta lebih responsif dalam menyelesaikan setiap aduan rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apa saja permasalahan yang diterima sama ada kecil atau besar perlu diberi maklum balas segera dan diselesaikan tanpa birokrasi.

Menurutnya, penjawat awam juga perlu lebih peka terhadap isu-isu semasa dan permasalahan rakyat.

"Kita tak mahu lagi orang luar cakap perkhidmatan awam ini perkhidmatan yang 'lekeh', banyak birokrasi seperti ambil masa untuk bertindak dan melengah-lengahkan urusan di kaunter.

"Ini harus diketepikan. Tunjukkan bahawa prestasi perkhidmatan awam juga lebih baik dengan komitmen tinggi daripada semua,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang(APC) 2021 Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini pada Selasa.

Pada majlis berkenaan, seramai 512 pegawai daripada 34 jabatan menerima APC.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik mengingatkan penjawat awam supaya tidak culas dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

"Kita harus sentiasa memulihkan semula imej perkhidmatan dengan amalan budaya kerja berintegriti dan kerja berprestasi tinggi.

"Dalam peredaran zaman dan apa jua perubahan yang berlaku, sering saya tekankan bahawa penjawat awam mesti sentiasa mengamalkan nilai asas dalam penyampaian perkhidmatan awam iaitu cepat dalam tindakan, utamakan integriti, tepat dalam penyampaian perkhidmatan dan sentiasa mesra ketika berurusan. Cepat, integriti, tepat dan mesra atau singkatannya CITRa,"katanya.

Tambah beliau, sebagai penggerak utama dalam ekosistem perkhidmatan awam, hanya penjawat awam boleh menentukan misi pembaharuan organisasi berjaya atau tidak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!