Somalia beri amaran bakal hadapi kebuluran

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MOGADISHU - Somalia kini mengalami kemarau terburuk yang pernah direkodkan sejak beberapa dekad, menghampiri keadaan kebuluran di tengah-tengah krisis kelaparan dan pemakanan yang semakin meruncing.

Abdirahman Abdishakur Warsame berkata, 6.1 juta rakyat Somalia berdepan tahap bekalan makanan tidak terjamin yang melampau, manakala 330,000 kanak-kanak berdepan kekurangan zat makanan yang teruk akibat kemarau yang berpanjangan.

"Utusan Khas untuk Kemarau itu menyeru semua pihak berkepentingan meningkatkan usaha untuk menyokong komuniti yang terjejas akibat kemarau," lapor Agensi Berita Xinhua memetik Pejabat Utusan Khas untuk Respons Kemarau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu menekankan keperluan tindakan segera dan diselaraskan dengan baik serta menyeru agar semua rakyat Somalia bangkit untuk menyelamatkan nyawa.

"Persekitaran politik yang penuh perbalahan yang membawa kepada proses pilihan raya yang berpanjangan, krisis politik global, dan kemunculan krisis kemanusiaan di tempat lain di dunia turut menyumbang kepada tindakan yang tidak memadai terhadap ancaman kemarau dan usaha menghadapi kebuluran yang bakal berlaku di negara itu," katanya.

Kemarau yang berkait dengan perubahan iklim di Somalia adalah antara yang terburuk dalam 40 tahun dan menjejaskan 66 daerah di negara itu, menyebabkan 771,400 keluarga kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kerajaan Somalia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!