Pelaksanaan Seksyen 17A, jelas komitmen kerajaan tangani rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Seksyen 17A Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada tahun 2020 memberikan gambaran jelas mengenai komitmen kerajaan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam sesebuah organisasi komersial.

Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Datuk Tan Yew Sing berkata, untuk menghentikan kegiatan jenayah tersebut adalah sukar, namun Seksyen 17A ini mampu mengekang individu yang bersekutu dengan organisasi komersial memperoleh sebarang faedah kepada syarikat.

Beliau berkata, kesedaran terhadap jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga penting bagi meningkatkan integriti serta pematuhan undang-undang berkaitan antirasuah selain mengurus risiko rasuah dalam organisasi.

"MCCC memandang serius terhadap isu rasuah dan percaya setiap permasalahan organisasi komersial mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah ini.

"Rasuah bukan hanya merosakkan integriti seseorang tetapi menjatuhkan imej negara dan menjejaskan pelaburan asing yang melihat jenayah ini boleh meruntuhkan kestabilan ekonomi dan politik negara.

"Kegiatan jenayah ini turut membawa kepada 'income inequality' (ketaksamaan pendapatan). Generasi muda yang ingin terlibat dalam sesebuah perniagaan akan berdepan dengan pelaburan perniagaan yang tinggi kerana kos sedia ada akan meningkat disebabkan permintaan rasuah," katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat MCCC di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Seksyen 17A ini membolehkan organisasi komersial menjadi lebih bertanggungjawab dan mempraktikkan prinsip antirasuah dalam kalangan kakitangan mereka agar menolak segala bentuk rasuah ketika menjalankan perniagaan organisasi.

"Di MCCC, kami juga berdepan cabaran iaitu ada dalam kalangan kami yang masih belum memahami sepenuhnya bagaimana kegiatan rasuah terjadi tetapi sebagai sebuah syarikat, kami terus mendidik setiap kakitangan tentang apa itu rasuah.

"Bagaimana bentuk rasuah yang dihadapi misalnya hadiah, wang tunai, posisi atau jawatan dan juga 'favour'. Jika anda pergi makan dengan mereka yang mempunyai kaitan dengan perniagaan anda, maka kita (syarikat) akan bayar harga makanan itu dan tidak membenarkan mereka membayarnya untuk mengelak berlakunya rasuah," katanya.

Yew Sing berkata, jika syarikat menerima laporan berkaitan salah laku kakitangannya yang didapati terlibat dengan rasuah, maka pekerja tersebut bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk pemecatan dengan serta-merta

Beliau berkata, pelaksanaan Seksyen 17A ini juga diperkukuhkan lagi dengan Akta Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) iaitu individu yang mengetahui mengenai sebarang kelakuan rasuah dalam organisasi agar melaporkannya dan pemberi maklumat ini turut dilindungi di bawah undang-undang.

"Oleh sebab itu, MCCC juga mengadakan kempen kesedaran dan pendidikan berkaitan antirasuah bukan hanya di setiap organisasi komersial malah juga di peringkat akar umbi seperti di sekolah-sekolah agar generasi baharu tahu budaya rasuah ini boleh meruntuhkan sesebuah negara," katanya.

Pada Jun 2020 media melaporkan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) yang mula berkuat kuasa akan menggalakkan aktiviti perniagaan dengan integriti tanpa rasuah selain mempromosi amalan tadbir urus korporat yang baik.

Secara asasnya, menerusi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya kakitangan atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!