Bekalan ayam di seluruh negara semakin stabil: Ronald
MANJUNG - Bekalan ayam di pasaran seluruh negara semakin stabil apabila tidak menunjukkan pengurangan ketara sejak 10 hari lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keadaan itu didorong langkah proaktif dilakukan kerajaan antaranya dengan pemberian subsidi dan pemberhentian eksport ayam.
Menurutnya, pemerhatian dilakukan juga mendapati pengusaha ternakan ayam telah mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan keperluan harian ayam tempatan antara 1.8 hingga 2 juta ekor dapat ditampung.
"Sejak 10 hari ini, kita tidak melihat sebarang kekurangan ketara (bekalan ayam) di pasar raya, pasar tani dan pasar-pasar keseluruhan.
"Saya rasa pihak pengusaha ternakan ayam telah mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan bekalan itu mampu dibekalkan.
"Kita juga telah memberhentikan eksport ayam pada ketika ini untuk memastikan keperluan tempatan dapat dipenuhi," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Perak di sini pada Selasa.
Dalam lawatan itu, Ronald meninjau pengoperasian pengeluaran ayam skala besar di Perak iaitu Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) di Segari dan ladang skala kecil, Ladang Sin Ling Cheong di Sitiawan.
Menurut beliau, harga siling ayam yang ditetapkan masih pada kadar RM8.90 sekilogram dan perbezaan harga yang berlaku di pasaran itu ditampung oleh subsidi diberikan kerajaan.
"Kalau kita lepaskan harga di pasaran sekarang, mungkin mencecah antara RM10 hingga RM11 sekilogram kerana itu kita putuskan pemberian subsidi untuk memastikan kos inflasi bahan makanan ini dapat ditampung," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ronald memberitahu, sebanyak RM71 juta subsidi telah dibayar daripada keseluruhan RM730 juta yang disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Februari lepas.
Melihat perkembangan itu, pihaknya meminta lebih ramai pemain industri ternakan ayam tampil ke hadapan untuk membuat tuntutan subsidi masing-masing.
"Tuntutan subsidi ini akan berakhir pada 5 Jun ini, bagaimanapun selepas tarikh itu ia masih boleh diproses.
"Proses ini telah dipercepatkan sekarang ini. 'Task force' juga telah dibentuk dengan lebih ramai kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dilibatkan sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!