MABC cari jalan bantu Malaysia kurangkan inflasi asas makanan
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC) bagi makanan dan pertanian baru-baru ini mengadakan perbincangan rasmi untuk mencari jalan bagi membantu kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan dalam usaha berterusan mengurangkan inflasi berasaskan makanan di negara ini.
MABC berkata, pihaknya juga mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan kos pemprosesan berkaitan dengan import makanan, terutamanya dalam penghapusan permit import (AP).
"MABC akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan untuk mencapai masa depan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi di seluruh rantaian bekalan juga merupakan langkah yang dialu-alukan.
"Selaras dengan amalan terbaik global, inisiatif ini seharusnya melihat kepada usaha mengatasi kesulitan dalam rangka kerja pematuhan,” tambahnya.
Pada 18 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan AP bagi mengimport produk makanan ke negara ini berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh perdana menteri pada hari yang sama bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi di negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!