'Masjid Zahir tetap dekat di hati saya'

Roslan (kanan) beramah mesra dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang ketika Majlis Persaraannya di WNS Homestay, Alor Setar pada Isnin.
Roslan (kanan) beramah mesra dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang ketika Majlis Persaraannya di WNS Homestay, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Tempoh perkhidmatan selama 26 tahun sebagai Imam Besar Masjid Zahir menyebabkan masjid negeri itu sentiasa dekat di hati Datuk Roslan Abdul Halim walaupun telah bersara secara rasminya pada 24 Mei lalu.

Roslan berkata, sepanjang 26 tahun berkhidmat pelbagai pahit manis telah dilalui dan ia akan menjadi kenangan yang tersemat rapi di hatinya.

Beliau berkata, antara kenangan paling tidak dilupakan adalah ketika diberi peluang untuk terlibat dalam beberapa upacara penting ketika kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada tahun 2017.

"Ketika itu antara tugas yang diamanahkan kepada saya adalah mengendalikan bacaan al-Quran bersama anak-anak tahfiz di istana.

"Kemudian saya turut mengimamkan solat jenazah dan disusuli bacaan talkin di makam," katanya ketika ditemui di majlis persaraannya di WNS Homestay di sini pada Isnin.

Roslan berkata, kesempatan itu merupakan pengalaman berharga apatah lagi dia mempunyai hubungan yang rapat dengan almarhum.

"Ia satu kenangan yang tak dapat saya lupakan sepanjang hayat saya dan juga tugasan yang agak meruntun jiwa kerana saya agak rapat dengan almarhum," katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata ini berkata, setelah bersara dia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kelas kuliahnya.

"Saya mungkin akan terus mengajar kerana sebelum ini semasa pegang jawatan imam besar pun saya aktif mengajar.

"Ada 52 kuliah yang saya perlu hadir untuk sebulan, mungkin selepas pencen jumlah ini akan bertambah," katanya

Menurutnya, walaupun sudah bersara dia tetap akan berkunjung ke Masjid Zahir sekiranya berkelapangan.

"Insya- ALLAH, saya akan pergi juga melawat, tengok- tengok dan solat Zohor di sana," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!