Pejuang tidak akan berseorangan hadapi PRU15
KOTA BHARU - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum mengadakan rundingan secara rasmi dengan mana-mana parti lain untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ada perbincangan dilakukan ke arah usaha kerjasama tersebut tetapi dilakukan secara tidak formal.
“Perbincangan tidak formal itu dibuat dengan beberapa parti termasuk parti dalam kerajaan, pembangkang dan parti-parti yang berkecuali.
“Kemungkinan besar Pejuang tidak akan memasuki PRU15 secara berseorangan,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Pemukiman Pejuang negeri Kelantan di Grand Riverview Hotel di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.
Mukhriz berkata, parti itu terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak baik dari segi gabungan atau pakatan literal selain tidak menganggap parti yang tidak menyokong mana-mana pihak sebagai kecil.
Dalam pada itu, katanya, Pejuang adalah parti Melayu yang menyasarkan negeri-negeri majoriti penduduk Melayu termasuk Kelantan untuk bertanding kerusi pada PRU15 nanti.
“Jumlah kerusi yang Pejuang akan bertanding itu belum lagi diputuskan dan Majlis Pimpinan Negeri akan mengenal pasti kerusi yang bersedia untuk ditawarkan calon menjelang PRU15.
“Kini fokus kita, membuat persiapan dari segi jumlah ahlinya, calon yang terlatih dan yang diterima baik oleh penduduk setempat serta ada kriteria-kriteria lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!