KKM pertimbang pengambilan jururawat terlatih dari luar negara
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menimbangkan permintaan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk membenarkan pengambilan jururawat terlatih dari luar negara, kata Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Beliau berkata, ini berikutan, berlakunya kekurangan jururawat terlatih dalam mana-mana bidang pengkhususan perubatan di Malaysia.
"Ada permintaan daripada APHM untuk memanggil jururawat pakar dari luar negara, kerana kita kekurangan jururawat terlatih dalam bidang-bidang pengkhususan.
"Suatu ketika dulu KKM membenarkan (pengambilan jururawat terlatih dari luar negara), tetapi kemudian tidak membenarkan. Saya akan bawa perkara ini kepada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar), apabila beliau pulang dari Geneva nanti untuk perbincangan supaya kita dapat selesaikan hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa APHM 2022 kali ke-28, yang berlangsung tiga hari bermula pada Selasa, di sini.
Sementara itu, Presiden APHM Datuk Dr Kuljit Singh berkata, pengambilan tersebut perlu bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan jururawat terlatih terutama di hospital swasta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!