Zii Jia sah sertai Terbuka Singapura
JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan beraksi pada Terbuka Singapura 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 17 Julai depan.
Menurut Persatuan Badminton Singapura (SBA), dua perseorangan lelaki Indonesia - Anthony Sinisuka Ginting dan Jonatan Christie turut menyertai kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah AS$370,000 (RM1,618,935) itu.
“Aksi Zii Jia (pemain nombor lima dunia) khususnya akan menarik untuk ditonton. Pemain berusia 24 tahun itu berada dalam prestasi yang baik, memenangi dua gelaran dan mara dalam dua aksi separuh akhir daripada empat kejohanan tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Terbuka Singapura 2022, acara badminton terbesar dan paling berprestij di Singapura itu kembali dianjurkan selepas 'berehat' selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
SBA dalam kenyataan turut memaklumkan lebih separuh daripada pemain lelaki terbaik dunia telah mendaftar untuk menyertai kejohanan tersebut.
Antaranya termasuk pemain nombor satu dan tiga dunia - Viktor Axelsen dan Anders Antonsen, kedua-duanya dari Denmark dan juara dunia yang juga wakil tuan rumah, Loh Kean Yew.
Beregu lelaki utama negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga akan menguji ketangkasan mereka menentang pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo selain beregu nombor tiga dunia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!