Bobie Farid CEO sementara Perak FC

Bobie Farid dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara Perak FC berkuat kuasa serta-merta.
Bobie Farid dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara Perak FC berkuat kuasa serta-merta.
A
A
A

XOX Pro Sport Sdn Bhd, anak syarikat XOX Berhad pada Selasa mengumumkan pelantikan Bobie Farid Shamsudin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara Kelab Bola Sepak Perak berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan Bobie Farid yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif One XOX Sdn Bhd dan Prinsipal Pasukan The Komanz Kru Racing Team (TKKR) itu bagi menyokong perjuangan Perak FC keluar dari zon penyingkiran dalam musim Liga Perdana Malaysia yang masih berbaki sembilan perlawanan.

Dalam satu kenyataan kepada pemberita, XOX Berhad berkata, Bobie Farid akan dibantu Mohd Badrol Izman Osman selaku Ketua Pegawai Kewangan sementara kelab.

Katanya, dengan pelantikan itu diharap Perak FC dapat merebut peluang jendela perpindahan untuk mendaftar serta menandatangani pemain baharu ke kelab itu.

"Kelab bola sepak tertua di Malaysia ini sedang giat menandatangani sekurang-kurangnya 14 pemain ke dalam skuad sekarang selepas dikenakan larangan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana tidak dapat menjelaskan tunggakan gaji pemain pada Februari 2022," katanya.

Perak FC sebelum ini telah dikenakan pemotongan sembilan mata oleh First Instance Body (FIB) pada April 2020 atas alasan sama.

Pasukan itu perlu memenangi perlawanan seterusnya untuk mengembalikan jumlah mata mereka ke paras sifar.

Perak FC bakal menentang Kelantan United FC dalam perlawanan di tempat lawan pada 25 Jun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!