Berkuasa bukan alasan kebal undang-undang: Tun M

Mahathir
Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa tidak bermaksud boleh melanggar undang-undang sesuka hati.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, setiap negara, organisasi dan masyarakat memerlukan kepada peraturan dan undang-undang.

Bagaimanapun, ujar beliau, ada individu-individu tertentu yang mempunyai kepentingan dan pengaruh kuasa melebihi undang-undang.

"Namun begitu, bagi memastikan keadilan dan layanan yang adil untuk semua orang, individu yang berkuasa tidak akan diabaikan sama sekali.

"Sebagai contoh, undang-undang melarang pembunuhan. Berada atas undang-undang tidak bermakna pembunuhan boleh dilakukan tanpa hukuman.

"Terdapat banyak peraturan dan dasar yang tidak boleh dilanggar walaupun oleh mereka yang berada di atas undang-undang," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang berkuasa perlu mengelak daripada melanggar peraturan dan undang-undang kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

"Malaysia masih lagi bernasib baik kerana keistimewaan itu tidak sering digunakan. Jika hak istimewa di salah guna sekalipun, rakyat Malaysia masih bertolak ansur dan pemaaf.

"Sudah tentu, kita tidak tahu had toleransi sedemikian. Adalah lebih baik untuk mengelakkan dari penyalahgunaan kuasa.

"Orang yang mempunyai keistimewaan itu mesti mengingati perkara ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!