Masa bersama keluarga pasca Covid-19

Inilah masanya untuk kita mengambil peluang yang ada, dalam masa sama membantu merancakkan kembali pelancongan negara. - Foto Bernama
Inilah masanya untuk kita mengambil peluang yang ada, dalam masa sama membantu merancakkan kembali pelancongan negara. - Foto Bernama
A
A
A

SEMUA insan inginkan sebuah keluarga bahagia. Sebagai institusi paling kecil dalam masyarakat, keluarga adalah asas kepada kesejahteraan negara.

Sebuah keluarga bahagia mampu menyelesaikan masalah dalaman dengan berbincang dan menemui cara terbaik. Ahli keluarga yang disayangi akan saling membantu dan memberikan sokongan serta bimbingan untuk sama-sama berjaya dalam hidup.

Justeru, peruntukan masa secukupnya buat keluarga adalah perlu walau sesibuk mana pun. Bak kata orang bijak pandai, jika ingin berada dalam memori anak pada masa hadapan, kita perlu luangkan masa bersama mereka pada hari ini.

Ahli keluarga asas ini sangat penting, malah kehadiran mereka seumpama sistem sokongan. Keluarga bahagia amat mustahak bagi membentuk individu yang positif serta berguna kepada masyarakat dan negara.

Bagaimanapun, kesibukan menjalani aktiviti harian tidak dapat dinafikan menjadi ‘pembunuh’ dalam keharmonian kekeluargaan. Ibu dan bapa sibuk bekerja, manakala si anak pula sibuk dengan tugasan dan aktiviti di sekolah.

Ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lalu, kebanyakan ibu bapa mempunyai banyak masa terluang bersama anak-anak disebabkan masing-masing berada di rumah sepanjang masa termasuk bekerja dari rumah.

Namun selepas tiada lagi kelonggaran bekerja dari rumah, situasi sudah berubah apabila ibu bapa mula sibuk dengan tugasan di pejabat, manakala anak sibuk pergi ke sekolah menyebabkan hubungan kekeluargaan kembali terbatas.

Oleh itu, ibu bapa seharusnya mencari plan B untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga. Salah satu caranya ialah dengan membawa keluarga melancong ke tempat-tempat menarik ketika cuti hari minggu, cuti umum atau cuti sekolah.

Tidak hanya menenangkan fikiran, berlibur bersama keluarga secara tidak langsung memberi peluang menerokai pengalaman baharu bersama-sama, berkongsi kegembiraan, sekali gus mengenali dan mempelajari kebudayaan serta cara hidup negeri yang dilawati.

Apabila sektor pelancongan sudah dibuka ketika negara sedang ke arah fasa endemik, inilah masanya untuk kita mengambil peluang yang ada, dalam masa sama membantu merancakkan kembali pelancongan negara yang terjejas ketika PKP lalu.

Ketika ini pun pelbagai kempen dan promosi dilakukan Kementerian Pelancongan bagi destinasi pelancongan tempatan seperti Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Melaka dan Cameron Highlands untuk menarik semula kedatangan pelancong.

Jadi, tak perlulah berfikir untuk melancong jauh ke luar negara yang memerlukan belanja besar. Negara kita juga mempunyai pelbagai lokasi menarik setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara.

Oleh itu, bersama-sama menjadi penyumbang kepada perkembangan ekonomi negara melalui melancong di dalam negeri.

Pun begitu, dalam keseronokan, jangan pula kita leka. Meskipun negara sudah ke arah fasa endemik, kena sedar bahawa wabak Covid-19 masih ada dan belum reda.

Bahkan, tiada siapa pun yang mampu menjadi kebal daripada Covid-19 kerana suntikan vaksin dan dos penggalak hanya dapat mengurangkan gejalanya sahaja. Sentiasa berwaspada dengan membuat ujian saringan kendiri sekiranya menunjukkan simptom-sipmtom.

Selain Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) juga tidak seharusnya dipandang ringan. Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak berusia bawah 10 tahun.

Sehingga 28 Mei lalu, direkodkan sebanyak 59,831 kes HFMD (atau 91 peratus) adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, manakala 4,593 kes (tujuh peratus) daripadanya adalah kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

Walaupun kes HFMD tinggi melibatkan kanak-kanak, orang dewasa juga tidak terkecuali berisiko untuk dijangkiti.

Dalam kegembiraan berlibur bersama keluarga, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan jangkitan.

* Azma Mohd Lazim ialah Wartawan SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!