Naik taraf Masjid At-Taqwa beri keselesaan jemaah

Pembinaan Masjid At-Taqwa Mukim Alor Pasir Wakaf Bharu, Tumpat masih memerlukan sumbangan dana berjumlah RM9.13 juta.
Pembinaan Masjid At-Taqwa Mukim Alor Pasir Wakaf Bharu, Tumpat masih memerlukan sumbangan dana berjumlah RM9.13 juta.
A
A
A

TUMPAT - Projek menaik taraf Masjid At-Taqwa Mukim Alor Pasir Wakaf Bharu di sini dijangka memberi manfaat keselesaan kepada 1,650 jemaah setempat terutama ketika mendirikan solat fardu.

Setiausaha Masjid At Taqwa Mukim Alor Pasir Wakaf Bharu, Johari Ab Rahman berkata, naik taraf masjid kepada bangunan dua tingkat berkenaan dijangka menelan belanja keseluruhan berjumlah RM9.74 juta dan kerja-kerja pembinaan sudah bermula sejak Mac lalu.

“Pembinaan yang dilaksanakan sejak dua bulan lalu di atas tanah wakaf persendirian baru mencapai 10 peratus dan pihak masjid masih memerlukan dana sebanyak RM9.13 juta bagi menampung kos keseluruhan.

“Kami memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi menyiapkan projek menaik taraf masjid tersebut sekali gus akan memberi keselesaan kepada 1,650 jemaah setempat dalam satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Projek menaik taraf Masjid At-Taqwa Mukim Alor Pasir Wakaf Bharu, Tumpat yang rancak dijalankan.
Projek menaik taraf Masjid At-Taqwa Mukim Alor Pasir Wakaf Bharu, Tumpat yang rancak dijalankan.

Ujarnya, bangunan masjid baharu itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu pada 2025 dan akan meningkatkan lebih dua kali ganda kapasiti jemaah berbanding hanya 450 jemaah yang dapat ditampung pada satu-satu masa di bangunan masjid yang sedia ada.

“Masjid At-Taqwa Alor Pasir, Wakaf Bharu dibina pada tahun 1974 dan sudah berusia 50 tahun menyebabkan banyak kerosakan seperti bocor atap.

“Jadi, pembinaan masjid baharu itu nanti yang lengkap dengan ruang solat lebih luas akan memberi keselesaan kepada para jemaah termasuk untuk menunaikan solat Jumaat dan solat Aidilfitri pada musim perayaan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Masjid At-Taqwa Alor Pasir, Wakaf Bharu, Bank Islam Malaysia Berhad 03018010105612 atau Maybank 553104601522.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!