Jalan TAR jadi ‘pedestrian walkway’

Pelan penutupan jalan TAR
Pelan penutupan jalan TAR
A
A
A

LANGKAH Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadikan Jalan TAR sebagai ‘pedestrian walkway’ atau laluan bebas kenderaan disambut baik orang awam yang menyifatkannya langkah mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran asap di ibu kota.

Pekerja swasta, Muhammad Razali Zolkepli, 28 berkata, pendekatan itu adalah langkah tepat menggalakkan warga kota menggunakan kemudahan awam.

“Mewujudkan kawasan pejalan kaki itu adalah permulaan yang baik buat warga kota mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian dan menaiki pengangkutan awam.

“Sudah sampai masanya, kerajaan guna mekanisme di negara membangun seperti Singapura yang melaksanakan kempen komprehensif menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Penutupan jalan kepada semua kenderaan persendirian pada hujung minggu dan cuti umum, bagi tempoh percubaan selama sebulan bermula April ini turut disokong Nurul Anis Abu Bakar, 25.

Jelas Anis, cadangan itu tidak akan menimbulkan bantahan orang awam asalkan tidak menghalang pengguna untuk membeli-belah di kawasan itu.

Jalan yang bakal ditutup pada Sabtu dan Ahad ketika tempoh percubaan. Gambar kecil: Anis
Jalan yang bakal ditutup pada Sabtu dan Ahad ketika tempoh percubaan. Gambar kecil: Anis

“Kalau benda itu tidak menyusahkan pengguna memang saya sokong. Pastikan aliran trafik lancar dan tidak menutup jalan yang biasa digunakan untuk ke tempat parkir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pemandu teksi, Rosdi Mohd Noor, 47, pula gembira kerana cadangan itu memberikan kelebihan kepada pengangkutan awam menggunakan laluan itu.

“Gembira dan setuju kerana kami ada sedikit kelebihan tapi kesian kepada pengguna lain yang terpaksa menggunakan jalan jauh untuk ke sana.

“Sebelum ini memang terpaksa bersesak setiap kali menghantar penumpang,” katanya.

DBKL bakal melaksanakan tempoh percubaan penutupan Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu bermula 6 dan 7 April ini diteruskan setiap Sabtu dan Ahad serta cuti umum bermula jam 8 pagi sehingga 12 malam.

Peniaga tidak senang

Peniaga dan penjaja Jalan TAR pula melahirkan kebimbangan penutupan jalan tersebut akan menjejaskan perniagaan mereka.

Sumber pengusaha gedung pakaian yang beroperasi di Jalan TAR berkata, dia bimbang pelanggan tidak lagi ke sana disebabkan kuatkuasa penutupan jalan kepada kenderaan persendirian.

“Jika dilihat, jalan yang ditutup ini merupakan laluan utama kepada pengguna, bila ditutup saya bimbang mereka bosan dan malas nak ke sini lagi.

“Persatuan sudah kemukakan bantahan, saya harap DBKL dapat pertimbangan rayuan peniaga. Kalau boleh jangan tutup kerana ia libatkan bisnes kami, hari-hari biasa pun tak banyak pelanggan, kalau hari minggu ditutup jalan kami akan terima kesannya.

Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali Farah, 50 berkata, dia tidak kisah jalan ditutup asalkan tiada gerai peniaga dipasang di hadapan kedai mereka yang akan menutup orang awam dari masuk ke kedainya.

“Nak tutup jalan tak apa, tapi jangan pasang gerai depan kedai kami. Tak salah sama-sama berniaga tapi biarlah sama adil kami sewa kedai mahal mahu cari makan juga.

“Kita tengok dulu tempoh percubaan dan kalau kami rasa terkesan kami akan mohon perkara itu dibatalkan. Dalam segala hal pelanggan adalah keutamaan kami, kalau jalan ditutup dan pelanggan tak ada, kami yang akan rugi,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!