Lebih 1,000 tetamu hadir Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Pernas
SHAH ALAM - Seramai lebih 1,000 tetamu terdiri daripada rakan-rakan strategik dan perniagaan serta kementerian bersama agensi hadir di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang diadakan pada Isnin.
Majlis yang bertemakan Lebaran Terindah dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar telah diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Pernas dalam satu kenyataan berkata, para tetamu disajikan dengan produk makanan dan minuman dari jenama francais dan pra-francais di bawah Pernas seperti Gloria Jean’s Coffees dan 1901 selain pelbagai jenis juadah makanan hari raya.
“Para tetamu juga berpeluang merasai keenakan makanan dan minuman daripada usahawan program Business in Transformation (BIT) Pernas iaitu Apam Balik Kuhot, MD Putu Bambu World, GPC Pisang Goreng Crispy, Old Time Sengkung, Keropok Getel dan Amir BM CKT,” jelas kenyataan itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Mazlan Ibrahim berkata, majlis yang diadakan tahun ini merupakan perantara dalam menjalinkan hubungan yang lebih erat antara warga kerja dengan rakan-rakan strategik, kementerian dan agensi.
“Majlis ini juga menghimpunkan usahawan seperti francaisor dan francaisi sekali gus membuka peluang untuk mengenali para usahawan ini yang lebih dekat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!