[VIDEO] BN dilihat parti politik ‘status quo’ negatif: Mohamad

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) seharusnya mengubah persepsi toksik orang ramai terhadap gabungan parti ini, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, BN dilihat sebagai sebuah parti politik dengan ‘status quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi.

“Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan BN, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.

“Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum atau BN adalah parti memerintah atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai UMNO.

“Kalau jawapan versi yang lebih teruk pula, BN dikaitkan dengan gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif. Semua ini sangat membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pembukaan Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.

Mohamad berkata, disebabkan itu adalah sangat penting kepada BN agar tampil bersifat sezaman, segar dan kalis masa depan.

“Kerana itu bagi saya, kita mesti mengungkapkan semula BN ini sebagai sebuah idea bukan sekadar sebuah perikatan politik.

“Kenapa saya mengatakan BN itu sebuah idea? Kerana ia mesti berevolusi. Institusi politik itu lumrahnya pegun.

“Sedangkan idea itu pula sentiasa bertumbuh, bercambah dan membiak. BN mesti kita ditamsilkan sebagai sebuah idea kesepakatan,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!