Mexico larang penjualan rokok elektronik
BANDAR RAYA MEXICO - Kerajaan Mexico pada Selasa mengumumkan larangan penjualan rokok elektronik atau e-rokok dan peranti vape lain kerana kebimbangan mengenai kesan kesihatan ke atas penduduknya.
Presidennya, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, adalah bohong untuk mendakwa bahawa e-rokok adalah alternatif yang selamat bagi menggantikan rokok.
"Wap (vape) itu juga berbahaya untuk kesihatan," tambah Lopez Obrador yang menandatangani dekri bagi memperkenalkan larangan itu pada Hari Tanpa Tembakau Sedunia seperti yang dilaporkan oleh AFP.
Beliau menunjukkan peranti vape yang berwarna merah jambu bagi menunjukkan bagaimana cara pihak pengeluar produk itu cuba menarik minat golongan muda untuk membelinya.
Sementara itu, pihak berkuasa bandar raya itu mengumumkan bahawa merokok akan dilarang di dataran utama bandar raya Mexico iaitu Zocalo dan kawasan sekitar di daerah bersejarah yang sibuk itu.
Dewan bandar raya itu berkata langkah itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang risiko kesihatan.
Merokok telah diharamkan di kawasan yang tertutup, pejabat kerajaan, kedai, bar dan restoran selama lebih sedekad dengan pengecualian di tempat-tempat hiburan tertentu.
Mexico melarang import dan eksport peranti dan kartrij vape pada Oktober lalu tetapi pihak syarikat yang mengeluarkan produk tersebut masih lagi menjual peralatan itu, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Hugo Lopez-Gatell.
Larangan baharu itu meliputi pengedaran dan pemasaran produk tersebut, tambahnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!