Bapa tunggal syukur diberi peluang tunai haji

A
A
A
JOHOR BAHRU - Seorang bapa tunggal tidak menyangka akan terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini selepas dua tahun hasratnya itu terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Abu Bakar Taib, 63, berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, beliau sudah menerima surat tawaran haji, namun selepas itu kerajaan mengumumkan penangguhan penghantaran jemaah ke Tanah Suci.

Bekas pengawal keselamatan di Universti Teknologi Malaysia (UTM) ini berkata, walaupun kecewa, beliau akur dengan penangguhan itu.

"Pada April lalu, saya menerima panggilan tawaran dari Tabung Haji. Saya sangat bersyukur kerana sudah dua tahun tertangguh. Lebih menggembirakan lagi, pada Isnin, saya terima panggilan menyatakan tarikh penerbangan ke Tanah Suci pada 22 Jun ini.

"Sejak 2008, saya dan arwah isteri sudah mendaftar di TH. Kursus haji pula sudah disertai sejak 2014. Namun impian saya bersama arwah isteri untuk bersama-sama ke Tanah Suci tidak kesampaian, apabila isteri meninggal dunia pada 2019 akibat kanser paru-paru," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Universiti Skudai di sini pada Rabu.

Abu Bakar ditenangkan anak bongsunya, Nurul Afiqah ( kiri) apabila tidak dapat menahan sebak kerana dirinya terpilih ke Tanah Suci tahun ini.
Abu Bakar ditenangkan anak bongsunya, Nurul Afiqah ( kiri) apabila tidak dapat menahan sebak kerana dirinya terpilih ke Tanah Suci tahun ini.



Abu Bakar yang mempunyai tiga orang anak berkata, perasaan gembira bercampur sedih kini dirasai kerana terpaksa meninggalkan anak sulungnya, Ridzwan, 35 yang kini menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang.

"Ridzwan turut mengalami masalah penglihatan, dijaga oleh isterinya Nurul Fatin Fatiha, 30, dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun. Mereka tinggal bersama saya dan anak bongsu, Nurul Afiqah, 31, yang bekerja di IKEA Tebrau.

"Isteri Ridzwan membuat kuih muih dan biskut untuk dijual sebagai sumber pendapatan. Persaan gembira bercampur sedih hendak meninggalkan mereka. Namun anak-anak banyak memberi sokongan untuk saya ke Tanah Suci," katanya.

Jelasnya, keperluan untuk ke Tanah Suci sudah disiapkan antaranya pakaian, kain ihram, peralatan kebersihan diri dan ubat-ubatan.

Nurul Afiqah memberikan ubat kencing manis kepada Abu Bakar.
Nurul Afiqah memberikan ubat kencing manis kepada Abu Bakar.



"Anak-anak banyak menitipkan kata-kata semangat dan memberi nasihat supaya sentiasa menjaga kesihatan. Mereka cukup bimbang dengan keadaan kesihatan saya walaupun sudah lengkap vaksinasi dan menerima booster penggalak.

"Saya harap segalanya berjalan lancar dan mendapat haji yang mabrur," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!