Konvensyen pertemuan terakhir BN sebelum PRU15
KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan membayangkan pertemuan pada Konvensyen BN kali ini merupakan yang terakhir sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata, perjumpaan hari ini sangat penting bukan sekadar untuk meraikan ulang tahun BN yang ke- 48 tetapi pertemuan sebelum menghadapi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.
“Pilihan raya yang akan menentukan masa depan BN dan Malaysia, marilah kita semua duduk bersama melihat secara jujur segala rencana dan pelan kita, dalam mengatur persedian menghadapi pilihanraya umum akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Konvensyen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Rabu.
Tok Mat berkata, tiada lagi ruang untuk berpeluk tubuh atau ruang untuk berasa selasa apatah lagi ruang bermimpi untuk menang dengan mudah.
“Untuk pilihan raya akan datang, pada saya, menang tipis atau sipi-sipi bukan pilihan sama sekali sebaliknya apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia.
Kita mesti ada idea, bagaimana kita akan menguruskan kerajaan. Dasar apa yang akan kita terokai dan kita tampilkan.
Tegasnya, parti tanpa idea, adalah parti yang mati. Tiada siapa yang akan yakin dengan BN, jika ia gagal mengemukakan idea yang bernas untuk Malaysia.
“Ingat, kestabilan politik sahaja tanpa idea bagaimana mengurus negara, tidak akan mencukupi," katanya.
Jelasnya, sekadar kestabilan tetapi kehidupan menjadi sukar, bukan cara terbaik mengurus negara ditambah indeks keyakinan rakyat merudum, adalah formula yang akan memundurkan bangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!