Galak kakitangan awam, swasta buat potongan zakat bulanan

Abdul Hakim (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Skim PZB dan menyampaikan hadiah Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ-MAIWP, pada Rabu.
Abdul Hakim (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Skim PZB dan menyampaikan hadiah Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ-MAIWP, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menggalakkan kakitangan kerajaan dan swasta membuat bayaran zakat melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB).

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen tersebut telah dilaksanakan sejak 1993 dan sehingga Mei lalu, seramai 117,040 individu membayar zakat pendapatan melalui skim tersebut.

Menurutnya, PPZ-MAIWP melancarkan Kempen Skim PZB selama enam bulan bermula Jun hingga Disember dalam usaha meningkatkan pembayar zakat di bawah skim itu.

"Kami menyasarkan kutipan RM40 juta setahun dengan tambahan 5,000 pembayar baharu atau pembayar sedia yang meningkatkan jumlah potongan bayaran zakat mereka di bawah skim tersebut.

"Pembayar zakat bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah antaranya Pakej Ziarah Al-Aqsa, motosikal, smart tv, telekung ekslusif, skuter elektrik, tablet, smart watch dan e-baucer makanan serta barangan," katanya pada sidang akhbar Kempen Skim PZB 'Jom Potong' di Wisma PPZ-MAIWP di sini, pada Rabu.

Abdul Hakim, Skim PZB saluran terbaik memastikan bayaran zakat dapat dijalankan secara konsisten, selamat serta tidak membebankan.

"Ia juga dapat membantu majikan mendapat pengembalian zakat melalui Skim Wakalah untuk membantu kakitangan yang memerlukan.

"Setiap apa yang diusahakan PPZ-MAIWP ini adalah bagi membantu asnaf di Wilayah Persekutuan agar hak asasi mencukupi dan membantu mereka bangkit keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Pada program sama, turut diadakan sesi penyampaian hadiah utama Kempen Ramadan Penuh Makna 2022 kepada Muhammad Ikhbar Mazlan yang memenangi Pakej Umrah bernilai RM7, 000, manakala Anith Ashiqin Mohd dan Nur Rashidah Ismail masing-masing membawa pulang baucar percutian RM3,000 dan RM4,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!