Penyelia rancangan tanah Felda menangis rayu ringan hukuman

A
A
A

SEREMBAN - Seorang penyelia rancangan tanah Felda tidak dapat menahan sebak di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu ketika merayu dikenakan hukuman ringan atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa empat tahun lalu.

Tertuduh Mohd Syafeq Mokhtar, 34, sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Dia yang menanggung isteri dan tiga anak berusia antara 11 bulan hingga enam tahun serta seorang adik yang masih belajar memberitahu sangat menyesal atas perbuatan dilakukan.

"Sepanjang tempoh tahanan reman saya dari 24 Mei 2022, saya amat menyesal atas perbuatan saya.

"Saya harap mahkamah dapat kurangkan hukuman saya dan berbentuk denda sahaja supaya saya dapat bersama semula dengan keluarga saya," katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan pegawai badan awam iaitu Setiausaha Jawatankuasa Tender Rancangan di Pejabat Felda Palong 5 telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila terlibat dalam keputusan memilih sebuah syarikat untuk kerja menyediakan tenaga buruh, peralatan dan pengangkutan bagi menjalankan kerja-kerja membekal dan menanam bunga hiasan di jalan kawasan kampung Felda Palong 5 melibatkan jumlah RM4,990 seperti mana Surat Perintah Kerja.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Palong 5, Gemas pada November 2018.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh tertuduh ditangkap 24 Mei 2022 dan denda RM25,000, gagal bayar lima bulan penjara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!