Meribelle, Cosmax Korea tandatangani MoU, luaskan pasaran peringkat global
PUTRAJAYA - Syarikat kosmetik tempatan, Meribelle Cosmetic (Meribelle) dengan kerjasama jenama kecantikan Korea, Cosmax Korea (Cosmax) melancarkan produk kosmetik keluaran terbarunya iaitu 'Matte Lip Cream' sebagai usaha memperluaskan pasaran di peringkat global.
Pengarah Meribelle, Siti Balqis Sajuri berkata, kolaborasi bersama syarikat pembuatan reka bentuk asli (ODM) yang terbesar di dunia itu merupakan langkah tepat dalam pemasaran produk kerana mengandungi bahan semula jadi, bebas gluten (gluten-free) dan halal.
Ujar Siti Balqis, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan jenama antarabangsa seperti Cosmax dan percaya usaha sama itu dapat membangunkan produk kecantikan yang berkualiti tinggi seterusnya membawa jenama Meribelle ke pasaran luar.
"Cosmax adalah syarikat pertama yang mempunyai sijil halal antarabangsa. Kami di Meribelle berbangga dan berbesar hati untuk menjalinkan kolaborasi bersama Cosmax.
"Cosmax pilihan paling tepat untuk kami bekerjasama. Untuk jangka masa panjang kami lihat Maribelle bukan hanya satu platform untuk berada di Malaysia tetapi boleh pergi hingga ke pasaran yang lebih besar seperti Indonesia dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika selepas Majlis Tandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Meribelle x Cosmax di Marriot Hotel, Putrajaya pada Ahad.
Perjanjian MoU kali pertama itu ditandatangani oleh Pengarah Meribelle, Muhammad Zulfadhil Ngatalin dan Pengarah President Cosmax Korea, Cheong Min Kyoung.
Siti Balqis yang juga Pengasas Bersama Meribelle berkata, dengan termeterainya memorandum ini, Cosmax akan membuat kajian dan menghasilkan produk kecantikan bersama Meribelle khusus untuk wanita asia terutama bagi yang sibuk bekerja serta memerlukan solusi pantas untuk sentiasa tampil cantik.
Dalam pada itu katanya, ‘Matte Lip Cream’ mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana dihasilkan dengan minyak ekstrak mawar (rose extract oil) sebagai bahan utama yang memberi manfaat kepada pengguna.
“Keistimewaannya, ramuan vitamin E di dalamnya akan merawat dan mengembalikan semula warna bibir kepada ‘pinkish’.
“Selain saya menekankan produk ‘Matte Lip Cream’, Meribelle turut mempunyai produk utama iaitu BB cushion yang telah terjual 150,000 unit di pasaran.
“Sebelum ini kami tidak tawarkan kepada ejen, tetapi tahun ini kami telah mempunyai ejen di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, Meribelle yang menggunakan tagline ‘your on-the-go make up favourite’ mempunyai pelbagai fungsi sekali gus menjadi penyelesaian kepada kaum wanita supaya mudah bersiap dan kekal cantik.
Jelasnya, tagline Meribelle membawa maksud semua produknya boleh digunakan terus pada bila-bila masa dan di mana juga, dengan kelebihan enam dalam satu termasuk ‘Matte Lip Cream’.
“Untuk menyelesaikan masalah wanita, ibu-ibu yang bekerjaya mudah bersiap dan menjadi cantik pada bila-bila masa, ‘on-the-go’ adalah penyelesaian terbaik,” katanya.
Luaskan pasaranPihaknya juga merancang mengeluarkan lebih banyak produk berasaskan bahan semula jadi untuk mendidik pengguna terutamanya di Malaysia bahawa produk tempatan bukan produk ‘sampah’ atau produk tulen (OEM) semata-mata.
“Meribelle bukan produk OEM tetapi ODM yang kami sendiri mohon, kami lakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) malah kami melabur dalam kecantikan dan estetik,” tegasnya.
Selain itu menurut Siti Balqis, Meribelle mensasarkan jualan produk ‘Matte Lip Cream’ menjangkaui lebih 300,000 unit pada tahun ini.
Katanya, sasaran tersebut dibuat berdasarkan data dan jualan sebelum ini yang mencatatkan penjualan sebanyak 260,000 unit.
“Kami menganggarkan kenaikan sekitar 20 peratus iaitu sebanyak 300,000 unit dan kami juga mendapat maklum balas positif daripada pengguna berkenaan produk yang dibuat dalam bungkusan kecil.
“Tujuannya, kami ingin dapatkan sasaran pelanggan yang lebih banyak bermula umur 20 tahun kepada 40 dan 50 tahun.
“Tetapi pengguna mahukan saiz yang lebih besar dan dari situ kami lihat ada permintaan dari segi kelompok sasar pelanggan yang lebih besar bukan sahaja kepada golongan pertengahan, tetapi juga B40 dan T20 juga,” katanya.
Tambah pendapatan“Memandangkan kami baru sahaja aktif secara rasmi pada awal tahun ini, setakat ini kami mempunyai lebih kurang 1,000 ‘reseller’ di seluruh Malaysia.
“Sebelum ini kami menggunakan kaedah ‘end-user’ (pengguna) di mana mereka membuat pembelian secara dalam talian di laman web dan Facebook kami.
“Untuk tahun ini, kami sasar untuk melahirkan 3,000 usahawan wanita dalam menjana pendapatan minimum sebanyak RM5,000 setiap bulan,” ujarnya.
Justeru itu, orang ramai yang ingin membeli produk Meribelle boleh melalui dua kaedah sama ada secara ‘offline’ atau dalam talian seperti laman web rasmi Meribelle atau menerusi media sosial iaitu Facebook dan Instagram.
Secara ‘offline’, orang ramai boleh dapatkan produk menerusi ejen di seluruh Malaysia manakala melalui dalam talian pula boleh dapatkan maklumat di Instagram, Facebook serta TikTok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!