Mungkin saya di Tambun: Asmuni
IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak tidak terkecuali menyatakan minat untuk meletakkan calon mereka di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, perkara itu bagaimanapun hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
"Calon ada tapi kita belum buat keputusan. Mungkin juga saya. Kita tidak buat keputusan lagi itu hanyalah kemungkinan-kemungkinan, mungkin juga saya ambil Parlimen sahaja.
"Terlalu awal untuk peringkat ini putuskan siapa dan bertanding di mana berikutan parti yang akan memutuskan calon-calonnya bukan individu.
"Saya sendiri tidak mengatakan saya akan bertanding di Manjoi walaupun mungkin saya ada niat begitu jika parti tidak 'endorse', saya tidak boleh ke mana," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi di Kampung Manjoi di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai hasrat Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari, Asmuni yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak memaklumkan masih terlalu awal mengadakan perbincangan mengenai calon-calon yang akan bertanding termasuk di kerusi Parlimen itu.
"Beliau bercita-cita tiada masalah tetapi apa sekalipun, parti akan buat keputusan dan lebih penting di peringkat PH negeri sendiri. Jadi, dia tidak boleh 'cop' begitu sahaja.
"DAP berminat mungkin letak calon lain, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin juga berminat, Amanah tentulah berminat. Jadi biarlah diputuskan oleh kepimpinan siapa akan bertanding dan di mana. Bukan sahaja Tambun, tempat-tempat lain juga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!