Pemandu bas sekolah langgar mati bayi dibebas dengan jaminan polis
SEPANG - Pemandu bas yang terlibat dalam kejadian seorang bayi perempuan yang maut dilanggar bas sekolah di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi pada Khamis lalu telah dibebas dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, individu berkenaan yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 50 tahun dibebaskan pada Jumaat.
"Polis kini sedang menunggu laporan berkaitan kemalangan melibatkan laporan bedah siasat dan laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
"Rakaman percakapan terhadap ahli keluarga mangsa melibatkan waris dan kakak mangsa akan dijalankan selepas keluarga mangsa selesai tempoh kuarantin akibat Covid-19."
"Siasatan terperinci sedang dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila lengkap," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Khamis minggu lalu, seorang bayi perempuan maut dilanggar bas sekolah dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!