270 jururawat lapor diri di Hospital Sultan Ismail Petra
PUTRAJAYA - Seramai 270 jururawat terlatih melaporkan diri di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya pada Rabu berkata, pertambahan jururawat itu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pengoperasian sepenuhnya hospital tersebut dan dapat menggunakan kembali blok hospital lama.
Pada hantaran sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh yang membantu menyelesaikan masalah sumber manusia.
Sebelum ini, Khairy berjanji akan berusaha untuk menyelesaikan isu kekurangan dan status perjawatan jururawat di negara ini.
Beliau berkata, isu kekurangan jururawat adalah aduan paling banyak diterimanya sewaktu melakukan lawatan di hospital.
Kekurangan jururawat menyebabkan hospital tidak dapat meneruskan pengoperasian secara maksimum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!