Desak adakan PRU15, yakinkah boleh menang, tanya Sanusi

A
A
A

POKOK SENA - Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan tindakan parti politik tertentu yang sering mendesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat ini.

Muhammad Sanusi juga mengingatkan parti politik berkenaan supaya tidak kalut untuk mendesak mengadakan PRU15 secepat mungkin.

“Saya pun hairan pasal apa mereka ‘duk pulun’ hendak adakan pilihan raya. Boleh menangkah jika ada pilihan raya, saya takut kalah teruk lagi.

“Tunggulah... tunggu sampai hujung penggal, semua orang setuju. Sekarang kita selesai dahulu kos hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Bencana Banjir Daerah Pokok Sena di Dataran Sena, Pejabat Daerah Pokok Sena di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk diadakan PRU15 ketika negara berdepan pelbagai isu.

Muhammad Sanusi yang merupakan Menteri Besar Kedah turut mengulangi pandangan bahawa sekarang bukanlah waktu sesuai untuk diadakan PRU15 sebaliknya diadakan di hujung penggal.

“Sebelum ini, saya telah membuat kenyataan iaitu pilihan raya patut diadakan di hujung penggal iaitu pada Mei atau Julai," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tertanya-tanya mengapa ada pihak yang mendesak untuk diadakan PRU15 sedangkan fokus seharusnya diberikan untuk mengatasi beberapa isu timbul.

“Tidak payah kalut apa-apa, tidak payah tekan siapa-siapa. Tunggu sampai hujung boleh pilihan raya. Sementara kita ada masa, kita usahalah untuk atasi apa-apa masalah yang sedang berlaku.

“Selepas itu, ada yang menyebarkan salah orang atau buat dakwaan yang tidak mendatangkan faedah kepada negara. Hanya kerana satu dua orang punya pasal, habis satu negara diheret,” katanya.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau mendapati beberapa negeri seperti Terengganu, Kedah dan Kelantan ada mengeluarkan kenyataan bahawa akan menunggu sehingga habis penggal untuk diadakan PRU15.

“Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor juga buat kenyataan yang sama. Saya rasa di peringkat negeri tidak ada isu apa-apa, tidak tahulah di peringkat mana desak PRU15,” katanya.

Pada majlis itu, Muhammad Sanusi menyampaikan sumbangan bantuan wang ihsan kepada 358 ketua isi rumah di daerah Pokok Sena yang terkesan akibat banjir pada Oktober tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!