Majlis Presiden PH tidak setuju kerajaan laksana semula GST

Pengenalan semula GST akan mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak, dan secara tidak langsung akan menjejaskan kos sara hidup rakyat. - Gambar fail Bernama
Pengenalan semula GST akan mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak, dan secara tidak langsung akan menjejaskan kos sara hidup rakyat. - Gambar fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, ia berikutan pengenalan semula GST akan mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak, dan secara tidak langsung akan menjejaskan kos sara hidup rakyat.

“Dalam keadaan inflasi semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan amat dahsyat,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pada Selasa, Ismail Sabri memberitahu, GST mungkin akan dikembalikan untuk menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Majlis Presiden PH menambah, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir.

“Ini termasuklah persepsi tatakelola serta urus tadbir kerajaan yang belum pulih akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni.

“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme. Perlu diingat bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya yang lalu.

“Justeru, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat,” tegas mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!