Kedah rancang tanam padi lima kali dua tahun

A
A
A

POKOK SENA – Kerajaan Kedah berhasrat melaksanakan penanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, import beras tidak perlu diteruskan lagi sekiranya langkah penanaman lima kali dua tahun itu berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, Kedah ketika ini mengeluarkan kira-kira 43 peratus bekalan negara selain turut menjadi pembekal ikan pantai terbesar Malaysia iaitu 24.5 peratus.

"Bukan sahaja beras, ikan juga pun ada di sini. Jadi, Kedah tidak bimbang tentang makanan. Tetapi, seperti sedia maklum, kita mengimport terlalu banyak makanan.

“Beras tidak cukup (jadi) sebanyak 35 peratus kita import. Jadi, kita ada bincang untuk menanam lima kali dua tahun. Kalau berjaya projek itu, kita sudah tidak perlu import beras lagi,” katanya.

Tambah beliau, penanaman padi di negeri ini akan disusun semula bagi merealisasikan hasrat terbabit termasuklah melibatkan tanaman di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Kita hendak susun semula tanaman. Jika tidak boleh dibuat dalam kawasan MADA, kita usahakan di luar MADA lima kali dua tahun. Insya-ALLAH boleh,”katanya.

Muhammad Sanusi memaklumkan terdapat usahawan yang didapati berminat untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut.

“Mungkin kena kos sikit untuk permulaan ini dengan infrastruktur parit kena tambah banyak lagi untuk salurkan air. Saya rasa dari segi perbincangan, kita sudah capai 40 peratus untuk dijayakan usaha (penanaman padi) lima kali dua tahun," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan Persekutuan diharapkan menambah subsidi seperti baja, racun, benih dan harga padi sekiranya hasrat menanam padi lima kali dua tahun dapat dilaksanakan nanti.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menasihatkan nelayan supaya tidak menggunakan pukat tidak dibenarkan ketika menangkap ikan.

Katanya, penggunaan pukat tidak dibenarkan dikhuatiri mampu mengancam benih-benih ikan hingga menyebabkan berlaku kepupusan.

“Jadi, semua kena disiplin dan masing-masing perlu menjaga untuk menjamin bekalan makanan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!