BN tidak boleh tawar produk politik 'jerat leher' sendiri
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu menawarkan satu produk politik baharu yang realistik dan mencakupi pelbagai aspek kepada rakyat Sabah dan Sarawak, dalam usaha memenangi hati mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Profesor Madya Dr Edwin Laimin berkata, produk politik berkenaan bagaimanapun tidak boleh ‘menjerat leher’ sendiri, seperti janji penghapusan hutang pendidikan atau penurunan harga bahan api, seperti yang pernah ditawarkan gabungan politik lain sebelum ini.
"Impian utama yang diharapkan rakyat mencakupi lima perkara, iaitu kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan kemahiran, infrastrutkur dan jaringan internet,” katanya ketika menjadi panel pada forum bertemakan Barisan Nasional: Membina Harapan Generasi Muda di sini, pada Isnin.
Forum berkenaan adalah sebahagian daripada acara Konvensyen BN 2022 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-48 BN di sini.
Mengulas mengenai pengangguran, beliau berkata daripada sejumlah 768,700 orang menganggur di negara ini, negeri yang paling banyak mencatat angka penganggur dalam kalangan belia adalah Sabah dan Sarawak, sekali gus memberi mesej berhubung harapan tinggi yang disandarkan kepada kerajaan yang bakal menerajui negara selepas ini.
Sebelum itu Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam forum bertemakan ‘Masa Depan Barisan Nasional’ berkata, BN perlu melakukan beberapa agenda reformasi bagi menghadapi PRU15.
Azalina berkata, antara yang perlu diperjuangkan ialah mewujudkan Akta Anti Lompat Parti yang perlu segera direalisasikan, sekurang-kurangnya sebelum PRU15 bagi membentuk kestabilan politik.
Kata Azalina, ia juga supaya tidak memberi ruang dan peluang kepada wakil rakyat untuk menyertai parti lain.
"Kedua kita perlu ada akta sumbangan politik, kita kena ada akta itu, (kerana) negara orang putih kalau nak menyumbang mereka ada sistem. Kita perlu tukar platform ini. Ketiga constituency development fund untuk bantu wakil rakyat dari mana-mana pihak sekalipun,” katanya.
Selain itu Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, BN juga perlu memperjuangkan tempoh had penggal Perdana Menteri selain memastikan pelantikan Peguam Negara bukan dari lantikan politik serta menjamin kebebasan Parlimen dan badan kehakiman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!