PGA rekod rampasan hampir RM17 juta
KUBANG PASU - Bermula 1 Januari sehingga 31 Mei tahun ini, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai jenis barangan seludup bernilai hampir RM17 juta melalui Op Wawasan Kedah-Perlis, Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan berkata, nilai rampasan terbabit termasuk rampasan 86 buah kenderaan pelbagai jenis.
Katanya, sepanjang tempoh lima bulan itu juga, Briged Utara berjaya merekodkan 93 kes di bawah Akta Racun 1952 yang melibatkan tangkapan 12 individu iaitu 10 lelaki warganegara Malaysia dan dua lelaki Thailand.
"Dalam kes ini PGA berjaya merampas daun ketum seberat 34,158 kilogram bersama 50 kenderaan pelbagai jenis.
"Nilai keseluruhan rampasan adalah lebih RM2 juta dan berdasarkan pemerhatian kita mereka masih menggunakan modus operandi yang sama seperti sebelum-sebelum ini," katanya ketika sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam di sini pada Rabu.
Menurutnya, antara rampasan ketum terbaru direkodkan adalah di Wang Kelian pada Isnin iaitu sebanyak 1.3 tan.
"Ketum di Thailand masih mendapat permintaan dengan harga pasaran sekitar RM150 sekilogram dan mereka yang menyeludup ketum ini menerima upah yang tinggi sebab itu mereka sanggup ambil risiko," katanya.
Nordin menambah, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) juga sentiasa berlaku di kawasan tanggungjawab PGA.
"Di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kita berjaya menumpaskan tiga kes dengan tangkapan seramai 21 individu terdiri daripada 18 lelaki dan 3 perempuan.
"Enam tekong warganegara Malaysia berusia lingkungan 30-an turut ditahan bersama-sama mereka," katanya.
Katanya, di bawah Akta Imigresen 1959/63 pula tangkapan berjaya dibuat melibatkan 231 individu warga Myanmar 13 individu warga Thailand dan tujuh individu warganegara Malaysia.
"Mereka ini sentiasa mencari peluang untuk masuk ke Malaysia melalui kawasan tanggungjawab kita, namun saya tegaskan kawalan kita sangat ketat dan sukar untuk mereka lolos.
"Paling ramai yang cuba masuk adalah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Perlis kerana kawasan di sana lebih luas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!