Bapa durjana rogol anak sendiri sejak 4 tahun lalu
KOTA BHARU - Seorang bapa layak digelar durjana selepas tergamak merogol anak perempuan sendiri sejak empat tahun lalu.
Difahamkan kejadian melibatkan remaja itu berlaku ketika dia berumur 11 tahun.
Kejadian terkutuk bapa berusia 39 tahun berkenaan terbongkar apabila anak perempuannya yang kini berusia 14 tahun itu pengsan di sekolah.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima oleh pihaknya daripada guru dan pelajar berkenaan pada jam 11.15 pagi, Selasa.
"Mangsa telah pengsan di sekolah pada pagi Selasa. Sebaik sahaja tersedar, gurunya bertanyakan keadaannya sebelum itu dan tanpa berselindung remaja berkenaan memberitahu dia telah menjadi mangsa rogol bapa kandungnya," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Rabu.
Menurutnya, mangsa mendedahkan kali terakhir suspek melakukan perbuatan tersebut adalah pada Selasa.
Muhamad Zaki berkata, perbuatan itu dilakukan suspek pada jam 2 pagi semasa mangsa tidur di dalam bilik.
"Bertindak atas laporan tersebut, polis telah membuat tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang rumah di pekarangan Hospital Tanah Merah, petang Selasa," katanya.
Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah merogol mangsa sebanyak tiga kali dalam tempoh empat tahun.
"Mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tiri serta empat saudara tiri lain.
"Mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan lama.
"Ujian saringan yang dilakukan mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!