Baru bebas penjara sebulan dah kena cekup semula
KOTA BHARU - Seorang bekas banduan tidak serik apabila kembali terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah apabila diberkas polis dalam satu serbuan di tepi jalan di Kampung Dangar, Pasir Mas di sini pada Selasa, tidak sampai sebulan selepas dibebaskan.
Penahanan suspek berusia 42 tahun pada jam 5 petang itu membawa kepada rampasan 48,000 biji pil kuda.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dilakukan, suspek sedang berdiri di luar kereta sambil memegang satu beg galas berwarna merah jambu di tangan kanannya.
"Suspek cuba melarikan diri selepas dihampiri oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
"Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan. Hasil pemeriksaan di dalam beg itu menemui satu bungkusan plastik warna hijau yang mengandungi pil kuda dianggarkan bernilai RM480,000," katanya semasa sidang media di IPK Kelantan, pada Rabu.
Muhamad Zaki berkata, susulan itu polis telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Keroh, Bayu Lalang, Pasir Mas pada awal pagi Rabu dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai pengedar dadah.
"Suspek pertama dan kedua ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Menurutnya, sebelum ini suspek pernah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun di Songkla, Thailand.
Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Dalam serbuan berasingan, katanya, satu tangkapan dibuat membabitkan sepasang suami isteri berusia 59 dan 54 tahun di sebuah rumah di Kampung Pangkal Kala, Bunut Susu, Pasir Mas pada jam 5.30 petang.
Turut dirampas adalah 180 biji pil kuda, 45 gram heroin dan satu gram syabu dalam rumah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM21,000 keseluruhannya.
Muhamad Zaki berkata, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM5,000 dipercayai hasil jualan dadah.
"Seutas rantai leher, tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin serta sebuah kereta jenis Proton Wira turut dirampas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!