Apabila alam melontarkan amarah, ambil pedulikah kita?

Selain kerosakan terhadap sistem perparitan, kelakuan masyarakat yang sering membuang sampah-sarap ke dalam longkang dan sungai juga menjadi punca banjir kilat.
Selain kerosakan terhadap sistem perparitan, kelakuan masyarakat yang sering membuang sampah-sarap ke dalam longkang dan sungai juga menjadi punca banjir kilat.
A
A
A

BENCANA datang dalam pelbagai bentuk. Umumnya, Malaysia berdepan tiga bencana alam utama, iaitu banjir, banjir kilat dan tanah runtuh kerana negara berdepan curahan hujan sepanjang tahun dan kadar yang tinggi pada musim tengkujuh.

Iklim atau hujan sememangnya pencetus banjir, banjir kilat dan tanah runtuh, namun ia tidak boleh dijadikan alasan berlakunya bencana alam.

Banjir misalnya berlaku secara berkala apabila curahan hujan melampaui keupayaan alur sungai mengalirkan air ke laut. Air sungai akan naik dan melimpahi tebing serta membentuk dataran banjir.

Dalam perancangan guna tanah, pihak berwajib telah mengenal pasti kawasan dataran banjir dan lazimnya dibiarkan dalam keadaan tabii atau dijadikan kawasan pertanian.

Justeru, setiap kali banjir berlaku, tiada kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda berlaku. Mungkin jika banjir besar, hasil tanaman pada tahun terbabit berkurangan.

Namun, hari ini, kawasan dataran banjir dibangunkan untuk pelbagai projek misalnya sebagai kawasan perumahan. Maka tidak menghairankan jika air naik beberapa sentimeter sahaja, pastinya air tersebut akan masuk ke rumah.

Malahan, setiap kali banjir, semua harta benda dalam rumah musnah ditenggelami air. Walaupun banjir kilat misalnya berlaku untuk tempoh beberapa jam sahaja, impaknya terhadap kerosakan harta benda amat tinggi. Apakah ini bencana alam atau kealpaan manusia sendiri?

Jika ditinjau, kawasan yang kerap mengalami bencana seperti banjir, sering dikaitkan dengan sistem perparitan yang kurang sempurna antaranya terlalu kecil, parit tersumbat atau ada projek pembangunan baharu di kawasan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Selain kerosakan terhadap sistem perparitan, kelakuan masyarakat yang sering membuang sampah-sarap ke dalam longkang dan sungai juga menjadi punca utama kejadian banjir kilat.

Sampah adalah antara punca utama kepada berlakunya banjir.
Sampah adalah antara punca utama kepada berlakunya banjir.

Jika dilihat, mendapan pasir dan sampah-sarap termasuk kabel elektrik dan kayu yang dibuang adalah antara punca aliran Sungai Jeluh tersekat sehingga melimpah ke kawasan sekitar, bermula di Pasar Kajang di Jalan Bukit dan pusat tumpuan di Jalan Tun Abdul Aziz sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat di pekan Kajang, Selangor pada tahun 2014.

Hakikatnya, ini pastinya bukan bencana alam! TETAPI campur tangan manusia yang keterlaluan mengubah setiap inci alam sekitarlah yang menjadi punca kepada permasalahan tersebut.

Banjir yang luar biasa misalnya, banyak berkaitan dengan kerosakan atau penerokaan alam sekitar yang juga luar biasa. Ahli masyarakat perlu memahami keupayaan alam sekitar mengekalkan perkhidmatannya sambil menerima pembangunan. Jika keupayaan tampungannya (carrying capacity) dilampaui, bencana pasti berlaku.

Tambahan pula, semua ini berkait rapat dengan kelemahan perancangan, kelulusan projek dan proses penjagaan yang kurang sempurna ditambah lagi dengan sikap masyarakat Malaysia yang sejujurnya ‘kurang’ mempraktikkan perlakuan lestari terhadap alam sekitar.

INGATLAH! Jika kita menjaga alam sekitar, maka alam juga akan menjaga kita. MAKA, jangan bersungut dan menuding jari, terimalah amukan alam dalam pelbagai bentuk bencana yang mendatangkan segala bentuk kerosakan dan kerugian akibat sikap sambil lewa dan kecuaian kita ketika berinteraksi dengan alam!

Ambil pedulikah masyarakat kita?

Kes pembuangan sianida di Pulau Pangkor dan Manjung, Perak, Pembuangan sisa ammonia di Labis, Johor dan pembuangan sisa toksik di Sg Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor, merupakan antara isu pencemaran alam sekitar yang mendapat perhatian daripada masyarakat Malaysia.

Tragedi ini berlaku disebabkan wujudnya tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab yang sering kali memfokus dan berpaksi kepada keuntungan semata-mata tanpa ambil peduli terhadap kesan daripada tindakan mereka, sama ada kepada masyarakat mahupun alam sekitar sendiri.

Pembuangan sisa toksik di Sg Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor, antara isu pencemaran alam sekitar yang mendapat perhatian masyarakat. -sumber foto:Bernama
Pembuangan sisa toksik di Sg Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor, antara isu pencemaran alam sekitar yang mendapat perhatian masyarakat. -sumber foto:Bernama

Berbalik kepada masyarakat, lazimnya, masyarakat Malaysia hanya akan ambil peduli terhadap isu ini jika kesan daripada pencemaran tersebut disensasikan oleh media, ia membawa kerugian dalam bentuk kehilangan nyawa dan harta benda kepada mereka selain memberi impak yang serius kepada kesihatan mereka.

Jarang sekali masyarakat kita mengambil tahu nasib yang menimpa alam sekitar yang telah dinodai, dicemari dan dimusnahkan oleh penjenayah alam sekitar terbabit.

Mengapa sikap sambil lewa yang dipaksikan kepada sifat ‘kekitaan’ yang hanya mengutamakan aspek diri dan ahli keluarga yang kelihatannya berakar umbi sejak sekian lama dalam jiwa setiap ahli masyarakat tidak dapat dikikis!

Natijahnya, sejak sekian lama wujud persepsi bahawa apa yang berlaku itu ‘bukan masalah aku’ dan ‘lantaklah’ dengan nasib yang menimpa alam sekitar kerana sudah pasti akan ada pihak lain yang akan mengambil peranan dan bertanggungjawab dalam memulihkan kemerosotan dan kemusnahan yang dialami!

Kenapa kebanyakan ahli masyarakat kita bersikap sedemikian rupa? Adakah sistem pendidikan formal yang diterapkan selama ini, daripada tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej mahupun universiti ‘gagal’ mendidik masyarakat menjadi insan yang menghargai dan seterusnya bertindak memelihara alam sekitar?

Adakah agama yang dianuti yang terkandung dalamnya nilai-nilai murni dan tanggungjawab moral antaranya kewajiban memelihara dan memulihara alam sekitar tidak dihayati dan dipraktikkan sepenuhnya?

Adakah agensi dan badan-badan bukan kerajaan serta pihak-pihak lain yang diamanahkan memikul tanggung jawab ini tidak menjalankan tugas tersebut dengan jayanya?

Selagi semua persoalan ini tidak ditangani, maka, selagi itulah masalah pencemaran dan kemerosotan kualiti alam sekitar ini tidak akan ada pengakhirannya dan akan terus menghantui kita saban masa dan waktu.

Masyarakat Malaysia harus berubah

Manusia adalah satu daripada makhluk dan entiti ciptaan ALLAH SWT seperti juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Alam sekitar adalah sumber keperluan hidup kita. Dalam kehidupan, ahli masyarakat bergantung sepenuhnya kepada alam sekitar serta komponennya untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka yang tiada batasannya.

Setiap apa yang diciptakan Tuhan termasuk alam sekitar mempunyai kepentingan dan fungsinya yang tertentu. Dari alam sekitarlah masyarakat mendapat bekalan air dan udara yang bersih secara percuma, bahan makanan untuk kelangsungan hidup di samping galian seperti petroleum dan hasil hutan seperti kayu balak untuk menjana ekonomi.

Alam sekitar yang bersih dan terpelihara turut menjadi daya tarikan para pelancong melalui aktiviti seperti ekopelancongan seterusnya menjana ekonomi negara. Alam sekitar yang terpelihara juga merupakan hadiah yang tidak ternilai kepada generasi yang akan datang.

Negara kita sememangnya kaya dengan kepelbagaian haiwan dan tumbuhan, yang mana terdapat sebahagiannya yang dikategorikan sebagai unik, terancam atau hampir pupus.

Taman Negara misalnya merupakan hutan yang tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun yang merupakan suatu ekosistem yang kaya dan kompleks.

Kawasan hutan Royal Belum pula sangat sesuai untuk menikmati keindahan hutan dara dan haiwan liar unik yang mana antara haiwan penting adalah 10 spesies burung enggang, seladang, harimau, gajah, tapir dan beruang matahari.

Tidakkah kita berbangga dan bersyukur dengan semua anugerah ini sedangkan negara lain misalnya hanya dikelilingi oleh lautan padang pasir yang tandus?

Tahukah masyarakat bahawa Malaysia telah disenaraikan sebagai satu daripada 12 negara megadiversiti? Apa yang dimaksudkan dengan megadiversiti? Bagi memastikan negara terus kekal sebagai negara berstatus sedemikian, apakah peranan dan sumbangan yang harus dimainkan oleh masyarakat? Tepuk dada tanya selera.

Ini membawa kepada persoalan seperti sejauh mana aktiviti perlindungan habitat hidupan liar yang dilakukan oleh pihak berkuasa misalnya mendapat sokongan daripada masyarakat?

Sejauh mana promosi tentang perburuan haram dan penyeludupan hidupan liar difahami masyarakat, apakah peranan mereka dalam membantu mencegah aktiviti berkaitan? Yang paling utama, sampai bila kesedaran dan sikap tanggungjawab dalam kalangan ahli masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar perlu sentiasa dirangsang, disuburkan dan digerakkan?

Jelas sekali ramai dalam kalangan rakyat Malaysia gagal mengambil iktibar daripada bencana alam yang berlaku saban tahun, khususnya banjir.

Mereka maklum bahawa sampah adalah antara punca utama kepada berlakunya banjir. Namun, sampah dan plastik tetap dibiarkan bertaburan dan bersepah di sana sini, misalnya di bahu jalan, parit mahupun longkang tanpa memikirkan natijah tindakan mereka terhadap orang lain.

Hasilnya, sistem perparitan seperti longkang dan parit di kawasan bandar sering tersumbat sehingga menyumbang kepada bencana banjir kilat misalnya.

Kemudian, pihak yang sama asyik menuding jari menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak sensitif dengan penderitaan mereka akibat banjir, mereka seolah-olah sudah lupa malapetaka ini terjadi akibat perbuatan sendiri.

Sudah tiba masanya setiap ahli masyarakat perlu bertanggungjawab atas segala perbuatan mereka. Jangan salahkan alam apabila segala perbuatan ini dibalas dengan amukan yang akhirnya mendatangkan malapetaka daripada segi kehilangan harta benda mahupun nyawa.

Tidak bolehkah dengan segala capaian kepada maklumat yang berada di hujung jari membolehkan kita sebagai ahli masyarakat memperoleh maklumat terkini berkaitan status, trend dan ancaman terhadap alam sekitar di sekeliling kita dan seterusnya merancang dan melaksanakan langkah sewajarnya bagi membendung permasalahan tersebut?

Ayuh, bangunlah daripada tidur yang lena, tidak perlu lagi menunggu segala informasi berkaitan disogokkan kepada anda, bertindak sebelum terlambat. Tidak perlu menunggu sehingga alam sekitar telah tercemar dan musnah barulah anda akan bertindak sewajarnya, bak kata pepatah sudah terantuk baru tergadah atau nasi sudah menjadi bubur!

Ketika itu, walaupun kemusnahan atau tahap pencemaran yang berlaku berjaya diminimumkan, namun, tidak ada ertinya lagi kerana alam yang telah tercemar atau musnah sudah pasti tidak akan dapat dipulihkan kembali seperti sedia kala walaupun jutaan ringgit diperuntukkan malahan dengan bantuan daripada mereka yang bergelar pakar sekalipun!

Ayuh! sedarlah masyarakat daripada kealpaan anda. Fikir dan renungkan mengapa Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun? Tidak lain dan tidak bukan, program yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut di seantero planet bumi ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar serta meningkatkan tindakan dan penglibatan masyarakat terhadap perubahan yang berlaku terhadap alam sekitar.

Berubahlah, tidak ada istilah terlambat, belajarlah daripada mereka yang arif, contohi dan praktik amalan baik yang telah lama diamalkan oleh nenek-moyang kita dalam menjaga alam sekitar yang berharga ini.

Malahan masyarakat juga boleh mencontohi aspek positif berkaitan amalan penjagaan alam sekitar yang diamalkan oleh masyarakat di negara lain seperti di Jepun dan Sweden.

Tidak apa jika kita bertatih, merangkak, berjalan dan akhirnya berlari dalam kita cuba mengekang dan menangani permasalahan alam sekitar di negara kita, asalkan kita sebagai ahli masyarakat dapat bersatu hati dan bersama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar negara yang kita cintai ini.

Mudah-mudahan, apabila rakyat Malaysia berbilang kaum menganggap alam sekitar ini sebagai milik dan tanggungjawab bersama, sudah pasti usaha menyelamat dan memelihara alam sekitar negara tercapai dengan jayanya.

Negara kita sememangnya kaya dengan kepelbagaian tumbuhan.
Negara kita sememangnya kaya dengan kepelbagaian tumbuhan.

Justeru, masyarakat harus tahu merancang untuk mengawal dan mengekalkan keseimbangan ekologi alam sekitarnya. Ini bermakna, alam sekitar haruslah diurus dengan teliti dan teratur dalam sebarang aktiviti ekonomi atau pembangunan.

Isu alam sekitar dan alam semula jadi adalah isu sejagat maka semua pihak mesti terlibat termasuklah masyarakat kerana penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab semua.

Sepatutnya setiap ahli masyarakat berfungsi menjadi ‘mata dan telinga’ untuk membantu agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar supaya apa yang berlaku di Sg Kim-Kim misalnya tidak berulang.

Hal ini sangat penting diberi perhatian sewajarnya kerana, kefahaman mendalam masyarakat, terutama masyarakat tempatan tentang alam sekitar di sekeliling mereka akan dapat menjadikan mereka ‘ejen’ yang berupaya memantau secara berkesan terhadap apa yang berlaku dan akhirnya memastikan perlindungan, pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara.

* Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman, Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!