Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Syed Ahmad
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang meninggal dunia, pada Rabu.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Syed Ahmad dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan bola sepak tanah air.
"Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan di Facebook Istana Negara, pada Rabu.
Syed Ahmad, 76, yang berasal dari Pontian, Johor mencipta nama menyarung jersi negara dari 1966 hingga 1974 dan meninggalkan legasi bersama tiga pasukan dari utara iaitu Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981).
Allahyarham semasa bersama skuad kebangsaan berjaya menjaringkan gol dalam aksi kelayakan di Seoul, Korea Selatan pada 1971 yang melayakkan Malaysia beraksi di Sukan Olimpik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!